Pelakon dan juga ahli kumpulan Forteen, Izzue menolak tuduhan penglibatannya sebagai pelakon selain bergelar penyanyi kerana tidak menonjol dalam bidang nyanyian berbanding anggota kumpulan yang lain.
Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 22, berkata dia tidak pernah terfikir tentang isu itu kerana pada hakikatnya dia sudah menceburi dunia lakonan terlebih awal sebelum menyertai kumpulan Forteen.
“Saya tidak setuju jika ada yang dakwa saya aktif berlakon kerana kurang menonjol berbanding ahli-ahli Forteen yang lain. Orang masih keliru dan tersalah faham. Sebenarnya, saya sudah berlakon terlebih dahulu sebelum menyertai kumpulan Forteen lagi,” katanya di majlis penutup pengambaran filem Sunti@Facebook.
Dia juga tidak bersetuju apabila penglibatan dalam kumpulan Forteen dianggap mengambil kesempatan ke atas dirinya sebagai penyeri dan tarikan kepada peminat kumpulan itu dengan paras rupa yang dimiliki.
“Forteen ada kelebihan masing-masing. Sebenarnya, saya datang ‘casting’ di KRU untuk belakon, tetapi dalam masa yang sama mereka bertanyakan bakat lain yang saya miliki. Memang saya boleh menyanyi dan saya mempunyai ‘band underground’ sendiri. Dari situ mereka mencungkil bakat dan menawarkan saya menyertai kumpulan Forteen. Saya hanya ambil peluang yang datang sekali dan bukannya mereka mengambil peluang ke atas saya,” ujar Izzue.
Menurutnya, sebagai orang baru, dia masih lagi mencari peluang terbaik bagi memantapkan profil karier. Kedua-dua bidang menjadi keutamaannya. Setakat ini, ahli kumpulan Forteen memahami jadualnya dalam lakonan dan nyanyian kerana sudah termasuk dalam perjanjian merekan sebelum dia menyertai Forteen.
“Sampai hari ini saya masih belum dapat memutuskan mana satu yang terbaik kerana kedua-dua bidang itu adalah impian saya,” katanya.
Apabila ditanya tentang kekasih, dia mengakui sudah mempunyai kekasih hati tetapi tidak mahu berbicara lebih lanjut mengenai hubungan dengan kekasihnya. Menurut Izzue, dia tidak mahu mencampuri hal peribadi dalam kerjaya seni terutama percintaan, kerana takut menjejaskan prestasi kerjayanya sekarang.
“Tipu la kalau saya katakan tiada kekasih hati. Ada, tapi saya tidak mahu cerita. Kalau kata tiada, nanti orang fikir lain pula. Tunggu masa yang lebih sesuai untuk berkongsi dengan semua, InsyaAllah,” Ujar Izzue lagi.
Terbaru, Izzue baru sahaja tamat pengambaran filem seram “Sunti@Facebook” dan dijangkakan akan menemui penonton awal tahun depan.