berita

Jabatan Muzium Malaysia Batal Program Artis LGBT Thailand, Krist & Singto

October 15th, 2018 | by Amat
Isu & Kontroversi

Baru-baru ini tular di media sosial sebuah poster hebahan mengenai penganjuran program membabitkan dua artis ikon LGBT Thailand iaitu Krist dan Singto. Kehadiran mereka yang dijadualkan tiba di auditorium Muzium Negara pada Sabtu ini telah mendapat tentangan dari beberapa para ulama dan netizen.

Bagaimanapun, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) membatalkan penganjuran program itu susulan percanggahan maklumat bersama pihak penganjur. Sebelum ini pihak JMM tidak dimaklumkan oleh penganjur mengenai penglibatan dua ikon LGBT Thailand itu.

Batalkan program biarpun bertujuan amal

Menurut laporan myMetro, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) serta-merta membatalkan penganjuran program tersebut apabila pihaknya baru mengetahui selepas poster program bertajuk ‘Kissing Krist & Singto‘ tular di media sosial.

Bagaimanapun, JMM sudah menghubungi pihak penganjur untuk mendapatkan pengesahan penglibatan pelakon LGBT Krist dan Singto. Keputusan untuk membatalkan program itu adalah muktamad biarpun dimaklumkan ianya bagi tujuan amal.

Semalam, JMM mengeluarkan penafian mengenai penganjuran program itu berikutan permohonan awal daripada penganjur pada 31 Mei lalu bagi mengadakan sesi bertemu peminat artis Thailand iaitu ‘Thailand Fans: Together in Kuala Lumpur’ dan bukan penganjuran ‘Kissing Krist & Singto’.

JMM hanya mengetahui mengenai mengenai program membabitkan dua artis ikon LGBT itu selepas poster mengenainya tular di media sosial selain kehadiran mereka disahkan oleh penganjur.

Tidak dinyatakan nama artis

Sementara itu, pihak JMM menegaskan tidak akan berkompromi dalam isu yang melanggar nilai agama Islam dan norma masyarakat di Malaysia. Hal demikian dilihat berpotensi mengancam keharmonian negara.

Bagaimanapun, dalam surat permohonan itu tidak dinyatakan nama artis Thailand yang terbabit dalam program itu nanti. Justeru, sebaik menerima maklumat mengenai pengesahan pembabitan dua artis ikon LGBT itu, JMM mengambil langkah membatalkannya.

Menerusi kenyataan yang dibuat pihak penganjur, Thailand Fans: Together in Kuala Lumpur adalah bertujuan memperkenalkan Malaysia di mata peminat artis Thailand yang datang dari seluruh negara.

Antara aktiviti yang dijadualkan adalah sesi temubual bersama artis Thailand, mini konsert nyanyian, dan ‘Fun Games’ artis dan peminat di atas pentas.

Sumber: myMetro

SKIP THIS AD ×