berita

Jambu Ganti Jozan Dalam Lawak Ke Der 3?

September 4th, 2013 | by Ai
Isu & Kontroversi

Pc Lawak Ke Der 3-27

Sejak Lawak Ke Der mula diperkenalkan di Istana Budaya pada 2011, banyak respon positif diterima dari pelbagai golongan masyarakat hingga mendorong Hans Isaac mementaskan Lawak Ke Der 2 tahun lepas.

Di atas kejayaan itu juga, Hans sekali lagi diberi kepercayaan untuk mementaskan Lawak Ke Der 3 di pentas yang sama pada bulan Oktober nanti.

Namun tidak seperti musim-musim yang sebelumnya, Lawak Ke Der 3 kali ini menampilkan barisan pelawak yang baru seperti Douglas Lim dan Jambu tetapi masih mengekalkan Harith Iskander dan Nabil.

Pc Lawak Ke Der 3-53

Berita ini bagaimanapun mengejutkan peminat-peminat Jozan kerana kumpulan itu tidak akan turut serta untuk musim ini.

Adakah bayaran Jozan kini terlampau mahal dan Hans tidak mampu memanggil mereka semula? Hans yang ditemui sewaktu majlis sidang media Lawak Ke Der 3 di Istana Budaya semalam menafikan perkara tersebut.

Sebenarnya tiada isu mengenai bayaran. Isu dia di sini adalah kerana kami mahu menukar konsep untuk musim ketiga. Konsep Lawak Ke Der ini adalah untuk memberi peluang kepada pelawak-pelawak lain pulak. Tak semestinya yang popular sahaja dapat masuk. Dah dua tahun Jozan menghiburkan peminat, mungkin Lawak Ke Der 4 mereka akan kembali. Tapi tahun ini saya nak cuba sesuatu yang lain.

Saya rasa Jambu adalah sebuah kumpulan yang cukup kuat. Malah, masa Maharaja Lawak Mega dulu pun mereka hampir menang. Mereka ada keunikan tersendiri dan saya rasa peminat-peminat mereka akan menyokong.

Berkongsi mengenai pemilihan Jambu, Hans memberitahu bahawa dirinya tertarik dengan lawak jenaka yang dibuat oleh kumpulan itu sewaktu menonton persembahan mereka di Maharaja Lawak Mega.

Pc Lawak Ke Der 3-23

Saya sebenarnya susah untuk panggil pelawak lain masuk keluarga Lawak Ke Der kerana saya hanya mahukan yang terbaik. Tapi masa saya menonton lawak Jambu di Maharaja Lawak Mega, saya tergelak dan terhibur. Bukan senang nak buat saya ketawa. Jadi dari situ, saya nampak mereka ada visi dan mereka mahu capai visi tersebut.

Dalam masa yang sama, Hans turut menyatakan bahawa Lawak Ke Der 3 akan memberikan lawak-lawak segar yang belum pernah digunakan oleh Nabil, Harith, Douglas dan Jambu sebelum ini.

Malah keempat-empat mereka juga dilarang untuk menggunakan lawak yang sama untuk sebarang persembahan lain selepas tamat pementasan Lawak Ke Der 3 di Istana Budaya.

Untuk pengetahuan anda, harga tiket yang dijual bermula dari RM43 hingga RM193 dan terdapat potongan harga sebanyak 15% untuk tiket-tiket tertentu. Untuk sebarang maklumat lanjut atau mahu membeli tiket secara online, anda boleh layari www.ticket2u.biz.

Selain daripada itu, anda juga boleh pergi ke kaunter box office di Istana Budaya untuk menempah tiket anda. Bagi yang tertanya-tanya, Lawak Ke Der 3 akan mula dipentaskan pada 3-6 Oktober 2013.

Sementara itu, jom layan dulu beberapa keping foto yang sempat dirakam oleh jurugambar OHBULAN! sewaktu majlis sidang media Lawak Ke Der 3 petang semalam.

SKIP THIS AD ×