Saranan seorang pengguna Facebook agar pakaian suami dibasuh berasingan dengan anak-anak menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Alasan dangkal untuk memuliakan suami jelas tidak disenangi netizen. Status yang menjadi perdebatan itu bagaimanapun telah mendapat perhatian Pencetus Ummah (PU) Azman.
Tiada dalil daripada Al-Quran
PU Azman menerusi laman Instagram berkongsi pendapat mengenai isu mengasingkan pakaian suami daripada pakaian anak-anak dan isteri yang hangat diperkatakan ini. Dia menyarankan agar kita mengikut sistem pengurusan rumah tangga yang dirasakan selesa dan mampu.
Bila keluar kenyataan “asingkan pakaian suami sebagai tanda memuliakan suami”, akan berlaku tempias kepada isteri-isteri lain yang campurkan pakaian suami dengan pakaian anak-anak di mana mereka merasakan diri mereka tak memuliakan suami. Kalau korang buat sistem atau undang-undang pengurusan di rumah yang korang selesa dan mampu untuk lakukan, jangan bersifat “memaksa” orang lain buat atas nama agama.
Menimbulkan kesukaran untuk mengasingkan. Bukan semua situasi suri rumah itu sama. Islam bukan agama yang menyusahkan. Ini dinamakan takalluf (memberatkan) dalam agama. Jangan buat orang lain rasa bersalah dalam agama.
Suami dan isteri adalah rakan kongsi
Malah, kenyataan tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan. Hal ini adalah kerana dilihat membebankan dari sudut agama. PU Azman turut memberi beberapa contoh yang mudah untuk kita fahami.
Ada unsur melampau dalam memuliakan suami. Bila dah kata pakaian suci, maka ini adalah pengiktirafan syariat. Maka tiada faedah untuk pengasingan atas alasan adab. Sama macam kita cakap, kalau susun baju suami jangan campurkan dengan baju anak-anak. (Yang dimaksudkan ialah asing atas dasar memuliakan, tapi kalau atas dasar supaya senang nak pilih, tak ada masalah) Ini tak masuk akal.
Kita bersetuju bahawa isteri berhak mohon pertolongan suami untuk buat kerja-kerja rumah. Dan hal ini jauh lebih berat dari sekadar mencampurkan pakaian suami. Tetapi kita tak cakap pula isteri yang minta suami bantu kerja rumah sebagai isteri yang tak memuliakan suami. Jadi, takkan sekadar campurkan pakaian itu dikatakan tak memuliakan suami. Suami dan isteri adalah rakan kongsi rumahtangga. Maka mereka saling memudahkan, bukan menyusahkan. Apa guna asingkan baju suami, tapi kata-kata tajam isteri pun buat suami rasa terasing.
Sumber: PU Azman