Sebelum ini, viral mengenai sebuah rakaman video berdurasi 0:24 saat yang menunjukkan seorang lelaki berdiri di depan rumahnya sambil memegang senapang sebelum menembak haiwan dipercayai anjing. Susulan daripada itu, Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) menawarkan RM2,000 kepada orang awam yang mempunyai maklumat sahih berhubung lelaki berkenaan.
Artikel berkaitan: Viral Video Tembak Anjing, Persatuan Haiwan Malaysia Tawar RM2k Buat Orang Awam Salur Maklumat
Di Instagram, pelakon, Datin Umie Aida memberi kesedaran dan menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa semua individu perlu menghormati makhluk ciptaan Tuhan termasuk haiwan. Ini kerana, setiap agama mengajar manusia untuk mencintai semua hidupan tersebut.
Hargai ciptaan Tuhan
View this post on Instagram
Menerusi posting My Forever Doggo, mereka telah bekerjasama dengan Umie Aida bagi meningkatkan kesedaran masyarakat agar menghormati kesemua ciptaan Tuhan. Menurut Umie Aida, jika seseorang individu itu tidak berminat memelihara haiwan atau mencintai haiwan, mereka tidak perlu menyakiti haiwan tersebut. Tambahnya, manusia perlu menghormati dunia haiwan dan secara tidak langsung mereka juga akan menghormati dunia kita.
Di samping iu, pelakon tersebut turut berkongsi kisah di mana anjing liar kini menjadi sasaran dan mereka dicederakan setiap hari. Lebih menyedihkan, anjing-anjing tersebut tidak bersalah dan tidak mengetahui kenapa mereka diperlakukan sebegitu. Jelas Umie lagi, kes seperti ini semakin meningkat dan semua pihak perlu memainkan peranan bagi membela nasib haiwan-haiwan tersebut.
Hukum memelihara anjing
Sebut sahaja mengenai anjing, sudah pasti pelbagai persepsi akan timbul dalam kalangan masyarakat terutama mereka yang beragama Islam. Menerusi kenyataan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat perbezaan hukum di antara ulama empat mazhab mu’tabar. Namun di Malaysia, konsep pemahaman agama Islam berorentasikan Mazhab Syafie. Kalau korang nak tahu, anjing adalah termasuk sebagai najis mughallazah iaitu najis berat. Merujuk kepada Mazhab Syafie, setiap inci bagi seekor anjing itu adalah dikira sebagai najis.
Menurut Imam al-Nawawi, apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota dari anggota badannya yang bersih ketika ia sedang berada pada keadaan apa sekalipun, maka wajib membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya adalah tanah. Manakala, menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan atau hajat adalah haram di sisi Islam.
Sebagai haiwan pemburu dan pemandu jalan
Kesimpulannya, terdapat rukhsah bagi mereka yang membela atau memegang anjing yang didahulukan hajat dan keperluan selari dengan kehendak syara. Sebagai contoh, membela anjing dengan disertakan hajat dan tujuan iaitu sebagai haiwan pemburu atau pemandu jalan untuk orang buta dibenarkan. Di samping itu, membela anjing bagi membantu tujuan keselamatan pihak berkuasa seperti Polis dan Kastam dan juga untuk mengawal keselamatan di sekitar rumah atau sebagai haiwan penjaga untuk menjaga haiwan ternakan turut dibenarkan.
Sumber: My Forever Doggo & Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan