Pelakon Jasmine Suraya akui terpaksa menjual beberapa barangan peribadi miliknya bagi menampung kos pengajiannya di Lee Strasberg Theatre and Film Institute, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), pada April.
Artikel Penuh: Jasmine Suraya Pernah Kena Maki Dekat Set Penggambaran Sebab Tak Fasih Bahasa Melayu
‘Saya perlu bajet antara RM300,000 hingga RM400,000’
Ketika ditemui OhBulan! di majlis berbuka puasa Mask Team, Jasmine atau nama sebenarnya Jasmine Suraya Chin Xian Mei, 35, berkata perbelanjaan sepanjang pengajiannya selama setahun menelan kos hampir RM400,000.
Hendak pergi AS perlu belanja tinggi dengan keadaan pasaran mata wang kita sekarang. Jadi, saya perlu bajet antara RM300,000 hingga RM400,000.
Jadi saya jual barang-barang saya seperti kereta dan benda peribadi lain yang sudah tidak ada nilai. Barang yang ada harga, saya simpan manakala yang lain saya jual dan laburkan kepada perkara lebih baik.
Tambah Jasmine lagi, dia akan memulakan pengajiannya dalam bidang seni lakon selama setahun selepas dia membuat keputusan untuk menangguh pengajiannya kerana menerima tawaran berlakon di Indonesia.
Awalnya saya tolak tetapi selepas bertemu pengarah dan tahu cerita lebih lanjut, sayang pula kalau tidak cuba. Apabila saya maklumkan pusat pengajian, mereka benarkan saya menangguhkan pengajian selama tiga hingga empat bulan.
Sementara itu, Jasmine meluahkan rasa terkilan apabila permohonannya untuk mendapatkan dana bagi melanjutkan pengajian daripada beberapa pihak, tidak berjaya.
Mereka ada dana untuk perkara lain tapi tidak ada untuk pembangunan bakat, modal insan. Bagi saya, agak terkilanlah. Tidak mengapa kalau tak bagi saya.
Tapi ada banyak lagi bakat-bakat yang datang daripada latar belakang tak seberapa. Mungkin tak ada duit nak pergi jauh tapi sangat berbakat.