berita

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Umum Mandi Jenazah Guna Cara Tayamum, Mangsa Covid-19 Di Johor Selamat Dikebumikan

March 18th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Selain memutuskan pindaan terhadap seruan azan, negeri Perak turut membenarkan tayamum dilakukan dalam proses memandikan jenazah yang meninggal dunia akibat wabak Covid-19.

Menerusi laporan Harian Metro, keputusan tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri (JFN) Perak seiring Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula hari ini sehingga 31 Mac nanti.

Menyapu debu pada bahagian luar jenazah

Sekadar gambar hiasan

Menurut Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK), Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin memberitahu bahawa JFN Perak telah mengadakan satu mesyuarat khas mengenai isu Covid-19 pada Sabtu lalu dan mereka telah memutuskan beberapa perkara penting.

Tayamum atau menyapu debu pada bahagian luar yang membaluti jenazah mangsa wabak Covid-19 diambil berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-107, bertarikh 10 hingga 11 Februari 2015 mengenai Hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang Disyaki atau Disahkan Dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Diseases: EVD) di Malaysia. Ia adalah pengecualian dan kelonggaran (rukhsah) sekiranya terdapat keadaan yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskan jenazah terbabit.

Jenazah itu boleh diuruskan melalui prosedur tayamum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membaluti jenazah itu. Bagi ungkapan azan pula, lafaz “hayya ‘ala as-solah” dan “hayya ‘ala al-falah” (marilah mengerjakan solat, marilah menuju kejayaan) hendaklah ditukar kepada “sollu fi buyuutikum” (Solatlah di rumah kamu), berdasarkan kepada pandangan al-Imam al-Nawawi r h dalam kitabnya, Syarh Sahih Muslim yang bersumberkan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Mengenai rumah ibadat yang terletak di kawasan wabak perlu ditutup untuk menjalani pembersihan dan nyahkuman sebelum dibenarkan beroperasi semula.

Tambahnya, beberapa keputusan lain juga diambil misalnya, penangguhan solat Jumaat pada 20 dan 27 Mac di semua masjid serta surau, dan ianya digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing. Beliau juga memberitahu bahawa arahan tersebut bertepatan prinsip maqasid syariah ‘hifz al-nafs’ iaitu menjaga nyawa yang turut diperkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Selamat dikebumikan

Sekadar gambar hiasan

Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaporkan terdapat 2 kes kematian ekoran wabak Covid-19 di Malaysia hari ini. Menurut laporan Harian Metro, jenazah salah seorang mangsa wabak tersebut yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) tengah hari tadi, telah selamat dikebumikan di sebuah tanah perkuburan Islam di Johor Bahru, kira-kira pukul 9 malam, semalam.

Jenazah lelaki berusia 34 tahun itu, dipercayai tiba dari HSA dengan menaiki van jenazah sambil diiringi 10 lelaki yang dipercayai kakitangan hospital selain orang awam. Mereka turut diberikan taklimat sebelum masing-masing memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE). Jenazah mangsa dipercayai sudah siap dikapankan.

Orang ramai termasuk pengamal media tidak dibenarkan menghampiri kawasan perkuburan sehingga selesai sesi pengebumian.Mangsa yang meninggal merupakan kes-178 dan salah seorang yang pernah menghadiri Perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, di Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu. Isteri dan anak mangsa dilaporkan tidak menghadiri majlis pengebumian berkenaan kerana mereka sedang dikuarantinkan di Hospital Permai.

Sumber: Harian Metro

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×