Penceramah bebas, PU Syed tampil memberikan pandangan mengenai ‘trend’ dan fenomena beberapa artis yang memilih untuk membuka tudung selepas berhijrah ke jalan lebih baik.
Artikel Berkaitan: ‘Istiqamahlah Dengan Taat, Bukan Kembali Membuat Maksiat!’ – Ustaz Ahmad Dusuki
‘Perbutan mungkar dan berdosa’
Menerusi temu bual bersama OhBulan!, PU Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak berkata, perbuatan membuka hijab itu merupakan satu perbuatan munkar dan berdosa.
Hijrah yang paling mulia adalah hijrah dari buruk kepada yang baik atau lebih baik dan bukanlah sebaliknya.
Nabi Muhammad SAW sendiri menyatakan bahawa jihad yang paling utama bukanlah jihad di medan peperangan tetapi jihad melawan nafsu.
Jadi fenomena artis mengambil keputusan untuk tidak lagi memakai tudung atau hijab adalah satu perbuatan munkar dan berdosa. Ini kerana, menutup aurat adalah suatu kewajipan kepada umat islam yang mukallaf.
Menurut PU Syed lagi, ia akan menjadi lebih teruk sekiranya para peminat juga memilih untuk mengikut jejak selebriti kesayangan mereka.
Perbuatan ini juga lebih parah lagi apabila ianya menjadi contoh yang songsang kepada peminat-peminat mereka dan tak mustahil mereka akan follow artis kesayangannya itu.
Perkara ini akan menyebabkan dosa jariah (mengalir) dan berlapis-lapis seperti yang disebut oleh Rasulullah SAW yang bersabda, ‘Barang siapa mengajak ke arah kebaikan, ia memperoleh pahala sebagaimana pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan pahala mereka yang mencontohinya itu sedikit pun. Barang siapa mengajak ke arah keburukan, maka ia memperoleh dosa sebagaimana dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan dosa-dosa mereka yang mencontohinya itu sedikit pun’. (Riwayat Imam Muslim)
Terdahulu, pelakon Mawar Rashid mengundang bualan ramai pihak selepas memuat naik gambarnya yang tidak lagi mengenakan tudung dengan kapsyen ‘Saya dah cuba. Tetapi saya gagal. Saya minta maaf’ di Instagram (IG)
Sekadar info, Mawar terbuka hati untuk memakai tudung pada Ogos 2020 selepas masuk kelas agama.