Nampaknya rezeki penyanyi yang popular dengan lagu berjudul ‘Berlari’, Tomok semakin bertambah apabila dia bakal muncul dengan sebuag drama yang bakal ditayangkan di TV3.
Sebelum ini, bekas vokalis kumpulan New Boyz ini pernah memegang watak superhero iaitu seorang hero robotik dalam filem Mantera.
Berbeza dengan watak sebelum ini, kali ini, sekali lagi Tomok menunjukkan bakatnya lakonannya dengan memegang watak sebagai seorang jururawat dalam sebuah drama berunsur romantik komedi.
Tomok dan Yana Samsuddin dalam satu babak drama ‘Suamiku jururawat, Isteriku doktor’
Kalau nak tahu, drama berjudul ‘Suamiku jururawat, Isteriku doktor’ ini adalah kesinambungan dari telemovie cerekarama ‘Suamiku Jururawat’ yang pernah ditayangkan sebelum ini.
Mengisahkan tentang Mikhail (Tomok) yang dibesarkan oleh ayah tunggalnya iaitu pemandu kepada Datuk Shahrizal. Oleh kerana Ibunya meninggal dunia dalam kemalangan ketika menghadiri temuduga untuk menjadi seorang jururawat, ayah Mikhail telah menanam harapan agar Mikhail menjadi seorang jururawat suatu hari nanti.
Demi mengejar impian ibunya arwah ibunya yang tidak kesampaian dan harapan ayahnya, Mikhail menyambung pelajarannya di sebuah kolej kejururawatan.
Namun, selepas kematian ayahnya, Mikhail telah berpindah ke rumah Datuk Shahrizal yang berhasrat untuk menjodohkan Mikhail dengan anak gadisnya iaitu Dr. Suriati (Yana Samsuddin).
Kalau dah jodoh tak kemana kan? Akhirnya mereka berkahwin dan terjadilah beberapa perkara lucu dalam kehidupan mereka yang tidak rela dengan perkahwinan ini.
Nak tahu apa yang akan terjadi apabila jururawat terpaksa berkahwin dengan doktor? Sama-samalah kita nantikan drama yang bakal menghiasi kaca televisyen bermula 15 Mac ini, setiap hari Sabtu jam 9.00 malam.
Selain Tomok dan Yana Samsuddin, drama terbaru ini turut menampilkan barisan pelakon popular seperti Fezrul Khan, Angeline Tan, Mustafa Kamal, Shima Anuar, Fadlan, Sheera Iskandar dan Margaret Gan. Apa-apa pun jom tengok dulu foto menarik sepanjang penggambaran.