Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selesai membuat sumpah laknat selepas sahaja habis solat Jumaat hari ini, di Masjid Jamek Kampung Baru.
Perkara itu dilakukan beliau bagi menafikan pendedahan yang dibuat Azilah Hadri yang mendakwa telah menerima arahan daripadanya dan Abdul Razak Baginda untuk membunuh wanita warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Saya bersumpah
Dalam sumpah yang dibuat kira-kira jam 2.15 petang itu, Najib berkata beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana individu untuk membunuh mendiang Altantuya seperti yang didakwa sebelum ini.
Malah katanya, beliau juga tidak pernah berjumpa mahupun mengenali mendiang selama ini.
Pada hari ini 20 Disember 2019 dalam rumah Allah swt yang mulia ini dan Jumaat yang berkat ini, saya Mohd Najib Tun Abdul Razak dengan ini sesungguhnya dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut.
Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Alhamdulillah sejak saya memasuki usia taklif hingga ke saat ini saya tidak pernah mengarahkan mana-mana individu untuk membunuh seorang wanita warganegara Mongolia yang bernama Altantuya Shaariibuu.
Malah saya tidak pernah berjumpa dan tidak mengenali mendiang sama sekali. Jika saya berdusta maka laknat Allah swt atas diri saya dan jika saya benar, maka mereka yang memfitnah saya dan tidak bertaubat akan dilaknat oleh Allah swt.
Atas nama kebenaran
https://www.facebook.com/najibrazak/videos/464642561094949/?epa=SEARCH_BOX
Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, beliau juga sedar akan pengertian serta implikasi sumpah laknat yang dibuat olehnya pada hari ini.
Katanya, perkara itu dilakukan olehnya atas nama kebenaran semata-mata.
Saya tahu implikasi kepada sumpah ini, saya tahu pengertiannya. Tapi kerana atas kebenaran, kerana saya berdiri kerana benar dan saya cuma takut kepada Allah sahaja.
Maka dengan penuh rela hati saya mengambil keputusan untuk melafazkan sumpah ini.
Beberapa hari lalu, Azilah dalam perakuan bersumpahnya mendakwa dia telah diarahkan oleh Najib untuk membunuh Altantuya.
Dakwa Azilah, beliau bersama bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar hanya mengikut arahan ‘shoot to kill’ (tembak mati) sebagai anggota pasukan UTK.
Dalam acara sumpah laknat yang dibuat Najib sebentar tadi itu, turut kelihatan menemaninya adalah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak perempuan, Yana Najib.
Sumber: Facebook Najib Razak