Perkahwinan tular membabitkan seorang bekas mak nyah yang dikenali sebagai Danny bersama dengan seorang bekas pengkid yang bernama Nur Azera Fatehah Abdullah tidak bertahan lama apabila mereka dilaporkan sudah pun bercerai.
Artikel Berkaitan: Dulu Pengkid Kini Isteri Orang, Perubahan Drastik Wanita Ini Dapat Pujian Netizen
Cerai selepas dua minggu kahwin
Terbaharu, Danny, 40, memaklumkan bahawa perkahwinan mereka hanya bertahan dua minggu sahaja.
Menurut pengusaha salon itu, dia melafazkan cerai talak satu kepada isterinya pada 30 Julai lalu menerusi aplikasi WhatsApp.
Saya tahu perceraian adalah hal yang Allah murka tetapi mungkin jodoh kami sampai di situ saja.
Saya tak boleh kongsikan punca perpisahan secara terperinci tetapi apa boleh saya katakan, ia terjadi kerana tiada keserasian di antara kami.
Saya buat keputusan itu sendiri tanpa berbincang dengan keluarga terlebih dulu.
Keluarga memang bising terutama emak dan saya tak jawab panggilan telefonnya sehingga ke hari ini kerana belum bersedia nak ceritakan hal sebenar.
Danny juga meluahkan rasa sedihnya apabila mengenangkan tempoh perkahwinan yang dibinanya begitu singkat dan hanya mampu bertahan setakat dua minggu saja.
Tapi sebagai manusia siapa saya untuk melawan takdir jadi reda dengan ketentuan-Nya.
Jujurnya saya tak salahkan dia (isteri) atau menyimpan dendam terhadapnya kerana mungkin saya pun ada salah tanpa sedar atau gagal jadi suami yang baik buatnya.
Walaupun bukan lagi suami isteri selepas ini, harap kami boleh menjadi kawan baik yang boleh berkongsi masalah.
Buat masa ini, saya belum terfikir nak ubah keputusan namun tak menolak seandainya disatukan semula di kemudian hari.
Perkahwinan bukan content
Dalam pada itu, Danny sekeras-kerasnya menyangkal dakwaan segelintir netizen yang mendakwa perkahwinan yang dibinanya bersama Nur Azera Fatehah adalah sekadar satu content semata-mata.
Saya tahu daripada sebelum berkahwin hingga kini memang ada segelintir netizen mengatakan perkahwinan saya satu ‘content’.
Cuba fikir saya berkahwin menggunakan duit dan memang ikhlas nak halalkan isteri jadi takkan saya sanggup buat semua itu demi ‘content’?
Bagaimanapun, saya maafkan mereka yang melemparkan tuduhan itu dan bersyukur kerana ramai beri kata semangat juga mendoakan kami.
Dalam tempoh dua minggu perkahwinan itu, saya dapat merasai pengalaman menjadi suami, belajar erti kasih sayang kepada wanita dan merasakan nikmat hidup berkeluarga yang diinginkan walaupun sementara
Terdahulu, perkahwinan Danny dan Nur Azera selepas hanya lima hari berkenalan mula tular dan menjadi bualan ramai.
Perkahwinan mereka itu juga menjadi sumber inspirasi ramai untuk berubah ke arah kebaikan.
Sumber: Harian Metro