Pernah terkait kes dadah pada Oktober tahun lalu, pelakon Niezam Zaidi akui terkesan dengan ‘mulut lahar’ netizen yang bertubi-tubi melemparkan komen negatif di media sosial.
Artikel Berkaitan: ‘Farisha Kawan Wanita Yang Rapat Dengan Saya’ – Niezam Zaidi
Bunuh diri?
Ketika ditemui OhBulan!, Niezam bersyukur dia masih berpegang teguh dengan agama dan tidak cenderung untuk melakukan perkara yang tidak waras.
Kata Niezam, 30, ‘titik hitam’ yang pernah mewarnai kehidupannya membuatkan dia kini perlahan-lahan berubah menjadi lebih baik.
Kalau bukan Islam, mungkin dah lama saya gila dan buat benda tak sepatutnya seperti bunuh diri.
Jujur sekiranya saya tidak berpegang pada agama, mungkin kepala saya sudah jauh melayang sehingga menjadi gila atau bunuh diri.
Minta maaf tetapi banyak yang sudah saya lalui. Apa yang berlaku mungkin dilihat sebagai kenangan pahit atau titik hitam, namun saya mengambil pendekatan menjadikan insiden itu sebagai ubat dan penawar.
Isu kesihatan mental ini kita tak boleh ambil remeh walaupun orang lain nampak luaran kita okey tapi sebaliknya tidak lebih-lebih lagi media sosial ada notifikasi yang kita boleh baca dan lihat semua komen.
Dengan hanya membaca sahaja sebenarnya komen tersebut boleh jadi faktor kepada masalah mental. Itulah yang saya alami sewaktu berdepan dengan insiden (kes dadah) sebelum ini.
Niezam berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra tonton filem Kan Cheong yang diadakan di Petaling Jaya, pada Selasa.
Mahu dekat dengan keluarga
Tambah pemilik nama Mohd Niezam Mohd Zaidi, dia enggan memudaratkan kesihatan mentalnya justeru dia membuat keputusan untuk tinggal bersama keluarga di Ipoh, Perak.
Malah, mak saya sakit tiga serangkai dan papa saya pun sudah tua. Kita tak tahu mereka boleh hidup sampai bila, selagi boleh berjasa, saya akan buat yang terbaik.
Fokus saya ketika ini adalah ketenangan, jadi saya mahu berada dekat dengan keluarga dan buat keputusan untuk tinggal di Ipoh sejak awal tahun ini.
Dalam pada itu, ditanya mengenai keadaan ketika berada dalam lokap, pelakon filem M4M4 ini memberitahu dia merasakan kemanisan ketika beribadah.
Saya tak pernah pergi umrah dan tak tahu macam mana perasaannya. Tapi saya dapat perasaan seronok ketika beribadah di dalam lokap.
Itu perasaan paling indah dalam hidup saya. Pada waktu itu, saya sedar tak ada siapa yang boleh tolong melainkan Allah.
Pada 10 Oktober lalu, Niezam bersama seorang pengarah filem dan penolong pengarah didenda Mahkamah Majistret di Kuala Kangsar, Perak atas kesalahan memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan.
Majistret Mohd. Shazmeer Zamhari menjatuhkan hukuman terhadap Niezam, 30; Mohd. Latiff Zami, 50, dan Saiful Zaidrin Ismail, 48, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.
Mahkamah turut memerintahkan Niezam menjalani pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun, manakala Mohd. Latiff dan Saiful Zaidrin masing-masing selama tiga dan dua tahun.