Hasrat seorang bakal pengantin untuk melangsungkan perkahwinan pada 29 Mei ini tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer (KM) 55, Jalan Gua Musang – Kuala Krai, jam 9.30 pagi semalam ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Pasir Mas.
Tambah menyedihkan kemalangan itu turut meragut nyawa adik lelakinya yang menunggang motor berkenaan yang khabarnya baru dibeli dua tiga hari lalu.
Tinggal sembilan hari lagi untuk berkahwin, semua sudah siap
Ibu mangsa, Norizan Mamat, 48, berkata, sehingga sekarang dia masih lagi terkejut dan tidak percaya kedua-dua anak kesayangannya itu pergi serentak.
“Tinggal sembilan hari lagi kenduri kahwin akan diadakan dengan barang-barang persiapan seperti bunga telur, hantaran semua dah siap.”
“Ini merupakan kenduri kahwin pertama keluarga kami dan seekor lembu akan ditumbangkan untuk menjamu saudara mara serta tetamu.”
“Saya tidak menyangka kenduri kahwin ini akan bertukar menjadi kenduri arwah, dan jika dihitung, 29 Mei ini genaplah tujuh hari pemergian kedua-dua arwah,”
Katanya, Norhayatie sudah menunjukkan sikap pelik semasa pulang ke kampung seminggu yang lalu apabila dia banyak termenung dan berdiam diri.
“Sedangkan masa itu dia pulang untuk mengedarkan kad jemputan kahwin, tetapi satu kad pun tidak diedarkan.”
“Jika diikutkan perancangan awal, kenduri kahwin ini akan diadakan pada November ini, tetapi arwah tiba-tiba ingin cepatkan bulan ini juga,” katanya.
Menurutnya, kenduri pada 29 Mei ini akan terus diadakan namun diganti dengan kenduri arwah untuk kedua-dua anaknya itu.
Tidak tahu mereka pulang dengan motosikal kerana motosikal baru saja dibeli
Norizan berkata, semasa kejadian, kedua-dua anaknya itu dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Pasir Mas.
“Saya tak tahu mereka pulang dengan motosikal kerana Amirul baru sahaja membeli motosikal berkenaan, dua, tiga hari lalu. Kalau tahu, saya takkan benarkan. Selalunya mereka balik dengan bas.”
“Malam kelmarin, dia menelefon ibunya memberitahu mahu pulang. Anak sulung saya baru sahaja balik minggu lalu untuk buat persediaan perkahwinannya yang bakal berlangsung 29 Mei nanti.”
“Kepulangan kali ini lebih lama kerana arwah ambil cuti panjang sehingga selepas selesai majlis perkahwinan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Gua Musang.
Tema ungu, putih untuk majlis perkahwinan
Sementara itu, sepupu mangsa, Rohani Jusoh, 35, yang tinggal di Jeram Tekoh, di sini, memberitahu, dia dan keluarga turut dijemput untuk menghadiri majlis perkahwinan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Arwah Hayatie beritahu saya, dia pilih tema ungu dan putih di majlis perkahwinannya. Memang saya bercadang nak balik nanti.”
“Malah, ada saudara kami turut terserempak dengan arwah di Bandar Gua Musang pagi tadi. Cuma tak sempat bertegur kerana masing-masing di jalan raya,” katanya lagi. Jenazah dua beradik ini disemadikan di kampung halamannya di Pasir Mas malam tadi.
sumber : Sinar Harian