berita

Kaki Pancing Maut Digilis, Pemandu Treler Larikan Diri

May 20th, 2022 | by khairil
Kini Trending

Foto: Sinar Harian

Seorang pemancing maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebelum digilis sebuah treler yang kemudian terus melarikan diri dalam kejadian di kilometer 3 Jalan Machang-Pasir Puteh di sini semalam.

Artikel Berkaitan: Sempat Rai Sambutan Hari Raya Aidilfitri Di Sekolah, Murid Darjah 4 Maut Digilis Lori

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Lima Pelajar Universiti Rentung & Maut Terlibat Kemalangan Dengan 2 Treler

Treler dipercayai hilang kawalan

Foto: Ihsan Polis

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh, dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, mangsa, Ahmad Zarriq Ahmad Zulkhairee, 24, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Hasil siasatan awal mendapati treler dipandu dari arah Machang menghala ke Pasir Puteh dan apabila sampai di tempat kejadian, pemandu treler tersebut dipercayai hilang kawalan sehingga masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar mangsa yang menunggang sebuah motosikal jenis Honda Wave.

Mangsa digilis dan diseret oleh treler serta disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu treler yang dipercayai langgar lari kerana meninggalkan tempat kejadian itu, giat dikesan sehingga kini.

Berdasarkan keterangan oleh saksi kemalangan mendapati jenis treler terlibat tidak mempunyai muatan namun tidak dapat dikenal pasti jenis kerana cuaca hujan ditambah kawasan kejadian yang gelap.

Polis kesan pemandu treler

Foto: Sinar Harian

Menurut Shuhaimi, sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mengetahui atau melihat kejadian itu agar tampil untuk membantu siasatan.

Usaha mengesan pemandu dan treler itu masih giat dijalankan sehingga kini. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Machang, Inspektor Nur Nazifah Bakhori di talian 019-963 4528.

Sumber: Sinar Harian Kosmo

SKIP THIS AD ×