Seorang kakitangan The New Straits Times Press (NSTP) disahkan positif Covid-19 setelah pulang dari Sabah. Perkara itu dimaklumkan oleh pihak kementerian kesihatan sendiri kepada Media Prima Berhad dan pesakit berkenaan masih menjalani rawatan di hospital.
Baru pulang dari Sabah
Difahamkan, individu berkenaan ke Sabah bagi menjalankan tugasan editorial dan pulang pada 30 September lalu sebelum menjalani ujian mandatori seperti mana dikendalikan pihak KKM. Bagaimanapun, dia telah menjalani kuarantin diri sejak pulang dari negeri itu sebelum disahkan positif.
Tambahan, pihak Media Prima telah bekerjasama dengan KKM dan mengesahkan individu tersebut tidak pernah ke premis-premis Media Prima sejak pulang.
Bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, pihak Media Prima masih melaksanakan prosedur merekodkan suhu badan setiap kakitangan dan pelawat ke premis, selain menyapu cecair pembasmi kuman dan memakai pelitup muka.