berita

‘Kalau Ada Ujian Dalam Tempoh Pertunangan, Hanya Saya Yang Tahu’ – Syafiq Kyle

May 19th, 2023 | by Shahrin
Kini Trending

Bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi, pelakon kacak, Syafiq Kyle berkongsi mengenai persiapan menuju hari bahagianya bersama aktres, Mimi Lana.

Artikel Berkaitan: Syafiq Kyle Selektif Terima Tajaan Perkahwinan

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Tunggu Nak Akad Nikah Saja’ – Syafiq Kyle

Pengalaman orang lain

Ketika ditemui Oh Bulan!, Syafiq berkata antara persiapan yang dilakukan adalah memastikan dirinya cukup bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami.

Menurut Syafiq, dia banyak mendapatkan pandangan daripada orang di sekeliling mengenai hal tersebut.

Sama seperti apa yang saya kongsikan sebelum ini, ini perkahwinan pertama dan ini merupakan persiapan pertama yang pernah saya buat.

Saya banyak bertanya kepada orang-orang terdekat bagaimana mereka menguruskan keluarga, menjaga isteri, anak-anak dan sebagainya.

Secara spesifik mungkin saya ada pengalaman menguruskan kehidupan peribadi, jadi saya gunakan juga pengalaman yang ada, suai dan padankan.

Yang penting jangan malu bertanya, apa dugaan orang lain saya boleh ambil pelajaran daripada situ.

Syafiq berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Polis Evo 3 yang diadakan di TGV, KLCC, pada malam Khamis.

Ujian bertunang

Dalam pada itu, disoal adakah sudah dilanda dengan apa-apa ujian dalam tempoh pertunangan, aktor berusia 30 tahun itu enggan mengiyakan mahupun menidakkan perkara tersebut.

Jelasnya lagi, meski ada ujian yang menimpa dirinya, hanya dia seorang diri yang mengetahui.

Alhamdulillah, baik semuanya. Tapi kalau ada ujian bertunang sekali pun tak akan saya nak kongsikan kepada umum.

Sekiranya ada atau tidak ujian itu hanya saya sendiri yang mengetahui. Perkahwinan ini merupakan yang pertama untuk saya. Banyak hal yang saya belajar dan kawal menguruskan perkara begini (perkahwinan). Saya perlukan sokongan juga orang sekeliling.

Polis Evo 3

Sementara itu, Syafiq mendedahkan antara cabaran yang dihadapi membintangi Polis Evo 3 adalah dia perlu melawan rasa gementar apabila mengetahui akan digandingkan dengan pelakon senior seperti Shaheizy Sam dan Zizan Razak.

Cabaran yang boleh saya kongsikan adalah saya agak gementar untuk bekerjasama dengan Shaheizy Sam dan Zizan memandangkan mereka sudah ada daripada siri yang pertama.

Saya tidak meletakkan target untuk berada sama level dengan mereka, sebab saya percaya setiap pelakon ada kelebihan masing-masing menerusi watak yang dibawa, tetapi apa yang produksi sediakan selama dua minggu kelas, saya gunakan sebaiknya untuk borak dan menjadi rapat dengan mereka.

Daripada situ, sedikit sebanyak membantu saya berani untuk masuk ke set penggambaran.

Polis Evo 3 bakal menjengah 165 buah pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 25 Mei ini. Filem terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Pictures ini mengangkat kredibiliti pasukan polis negara dan Polis Evo 3 masih mengekalkan elemen aksi komedi.

Selain Syafiq, filem arahan Syafiq Yusof itu turut dibintangi oleh Shaheizy Sam, Zizan Razak, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish dan ramai lagi.

 

SKIP THIS AD ×