Kakak kepada pelajar tingkatan lima yang maut dilanggar oleh seorang pegawai kanan polis, Nur Zawani Muhd Zamrie terkilan dengan kejadian yang menimpa arwah adiknya, Muhammad Zaharif Affendi.
Artikel Berkaitan: Kes Kematian Pelajar Calon SPM, Saksi Dakwa Suspek Langgar Dari Belakang – ‘Dua Tayar Kanan Lenyek Badan Mangsa’
‘Kalau salah masukkan dalam lokap’
Nur Zawani yang bekerja sebagai jururawat berkata, individu yang melanggar adiknya itu tidak mempunyai hak melakukan sebegitu meskipun arwah adiknya itu melakukan kesilapan.
Kalau dia buat salah sekali pun, datanglah jumpa mak ayah saya. Kalau hendak letak di lokap pun tidak mengapa. Bukan hak dia buat adik saya macam itu.
Adik saya masih remaja dan baru hendak kenal dunia, lagi-lagi dia adalah anak bongsu dan kesayangan. Malah hanya dia seorang yang masih bersekolah.
Dalam pada itu, Nur Zawani mendedahkan bahawa dia yang turut berada di lokasi kejadian sempat memangku adiknya bagi memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) di samping bapanya yang turut cuba membantu adiknya itu untuk mengucap bersama seorang ustaz.
Ketika kejadian, saya berada berhampiran lokasi kemalangan dan terperanjat apabila diberitahu orang awam bahawa mangsa kemalangan itu itu adalah adik sendiri.
Saya pangku dia, saya memang cuba selamatkan dia. Saya yang buat CPR masa mula-mula tiba di situ. Ketika itu adik masih bernyawa tetapi sudah tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
Jenazah Muhammad Zaharif Affendi dituntut keluarga selepas proses bedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang Luar pada Jumaat malam.
Dalam pada itu, hasil bedah siasat dibuat pihak polis mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh kecederaan pada bahagian dada dan abdomennya akibat pelanggaran yang berlaku.
Terdahulu, tular beberapa video memaparkan kejadian kemalangan tersebut sehinggakan menjadi perhatian wargamaya di media sosial.
Dalam kejadian tersebut, mangsa yang berusia 17 tahun maut ditempat kejadian manakala suspek yang berusia 44 tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dalam perkembangan lain, suspek yang berusia 44 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.