Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Khamis mencadangkan agar pelakon Kamal Adli melafazkan cerai terhadap isterinya, Uqasha Senrose susulan kegagalan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dijalankan sebelum ini.

Artikel Berkaitan: ‘Saya Tak Akan Keluarkan Kenyataan Bodoh, Guna Saluran Yang Betul’ – Kamal Adli

Artikel Berkaitan: Uqasha Senrose Enggan Ulas Isu Peribadi, Fokus Kerjaya

Kamal enggan lafaz talak

Peguam yang mewakili Uqasha, Muhammad Syazmee Sapian menjelaskan cadangan tersebut tidak dilaksanakan kerana pihak defendan iaitu Kamal masih berhasrat untuk mempertahankan perkahwinan mereka.

Laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) telah menemui jalan buntu, justeru mahkamah mencadangkan lafaz talak satu. Namun defendan tidak bersetuju.

Oleh itu, kes ini akan diteruskan ke peringkat seterusnya iaitu prosiding hakam yang dijadualkan pada 12 Januari.

Syazmee berkata demikian selepas prosiding laporan JKP di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Syazmee turut memaklumkan mahkamah mendapati wujudnya shiqaq atau perbalahan berpanjangan dalam rumah tangga pasangan tersebut.

Menurutnya, laporan JKP yang dikemukakan mengandungi perincian berkaitan pelbagai isu termasuk dakwaan kekasaran rumah tangga dan kegagalan memberi nafkah.

Mahkamah meneliti laporan itu secara menyeluruh dan mengambil kira semua faktor sebelum mensabitkan bahawa shiqaq memang wujud dalam perkahwinan mereka.

Uqasha memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur atas alasan tiada persefahaman dan masalah rumah tangga yang berlaku sejak April 2025.

Difahamkan, pasangan itu juga tidak lagi tinggal sebumbung dan Uqasha kini menetap bersama ibunya.

Pada 19 November lalu, kedua-dua pihak selesai melantik jawatankuasa pendamai masing-masing seperti diarahkan mahkamah.

Untuk rekod, pasangan ini berkahwin pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.