berita

Kami Dibawa Untuk Lihat Penggambaran Filem Terbaru IP Man Di China. Rasa Macam Di Zaman 1950-an!

December 20th, 2018 | by Ash Nordin
Kini Trending

Siapa disini peminat filem aksi IP Man? Pada Julai tahun lepas, kami telah diberi peluang oleh Lotus Five Star untuk melihat sendiri penggambaran dan disebalik tadbir filem aksi terbaru, iaitu Master Z: The Ipman Legacy. Bukan itu sahaja, malah media diberi peluang untuk beramah mesra dengan pelakon-pelakon hebat seperti Max Zhang, Dave Bautista dan pelakon lagenda kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh.

Seperti berada di zaman 1950-an!

Krew produksi sedang giang melakukan penggambaran.

Untuk pengetahuan anda, lokasi penggambaran telah dijalankan di pinggir bandar Foshan, China. Sampai sahaja di tempat penggambaran, kami disambut oleh pengurus produksi di sana dan apa membuatkan kami terpegun adalah set penggambaran direka khas bagi menggambarkan suasana serta situasi yang berlaku di Hong Kong pada tahun 1950-an. Kami merasakan seolah-olah berada pada zaman tersebut!

Media dari Malaysia bergambar di set pefileman di Foshan, China.

Salah seorang media bergambar bersama beberapa pelakon tambahan filem Master Z: The Ipman Legacy

Walaubagaimanapun, kami dilarang untuk bergerak bebas memandangkan penggambaran sedang giat dijalankan. Selepas selesai melihat set penggambaran filem Master Z: The Ipman Legacy, kami terus dibawa ke satu tempat khas untuk sesi temu ramah bersama pelakon utama.

Bersama peneraju utama, Max Zhang Jin

Aksi Max Zhang Jin bersama Tan Sri Michelle Yeoh.

Menerusi temu ramah bersama penerajun utama, Max Zhang Jin yang memegang watak sebagai Cheung Tin Chi berkata, filem terbaru ini menjanjikan lebih aksi berbanding filem IP Man 3. Dia juga turut berkongsi apabila berlakon di dalam filem aksi seperti ini, dirinya akan terdedah dengan pelbagai kecederaan.

Namun, dia menganggap itu sebagai lumrah dan lebih senang untuk menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan orang ramai, terutama sekali dari keluarga. Bagi Zhang, perkara yang hanya boleh menghilangkan rasa penatnya adalah dengan melihat serta meluangkan masa bersama anak-anak dan isteri.

Nampak ganas, tapi..

Dave Bautista melakonkan watak jahat, sebagai Davidson

Seterusnya, kami menemu ramah Dave Bautista, pelakon Hollywood yang sedang meningkat naik menerusi filem Marvel, Guardians of The Falaxy. Bautista memegang watak antagonis dalam filem ini. Jelasnya, dia sedang membiasakan diri dengan suasana kerja di Asia dan salah satu faktornya adalah dari segi masa dan persediaan.

Walaupun bekas penggusti WWE itu nampak bengis, namun apabila ditanya apakah watak idaman yang ingin dilakonkan jika diberi peluang, dia menjawab;

Saya sering diberi watak menjadi orang jahat. Tetapi jika diberi peluang, saya ingin berlakon dalam filem yang mempunyai tema ‘Romantic Comedy’.

Di samping itu, Bautista turut memuji cara pengarah Yuen Woo-ping bekerja untuk memastikan filem ini tidak seperti filem aksi yang pernah ada sebelum ini.

‘Apabila peluang tiba, lakukannya!’- Tan Sri Michelle Yeoh

Akhir sekali, kami diberi peluang untuk bertemu Tan Sri Michelle Yeoh yang pada ketika itu baru sahaja selesai melakukan penggambaran. Walaupun kelihatan penat, namun pelakon lagenda itu tetap bersalam dan menyambut mesra kedatangan media dari Malaysia.

Michelle turut berkongsi bagaimana masih bertenaga melakukan filem aksi untuk bertahun-tahun, lalu dia menjawab bahawa dia berasa puas untuk melakonkan watak bertemakan ‘action’ serta pencapaian yang diraih. Michelle juga rasa berbaloi apabila titik peluh, pengorbanan serta hasil kerja sendiri dapat dilihat di layar lebar.

Apabila bertanya apakah pesanan buat anak-anak muda di luar sana supaya dapat mengikuti jejak langkahnya, Michelle menjawab:

Siapa sangka gadis dari pekan kecil seperti saya mampu pergi jauh dan lakukan apa yang diinginkan? Apabila peluang tiba, lakukannya.

Kata-katanya itu sekaligus membuatkan kami tersenyum dan melalui raut wajahnya, kami tahu bahawa banyak pengorbanan serta susah payah Michelle untuk berada di mana beliau berdiri sekarang.

Media bersama Dato Seri Michelle Yeoh.

Sinopis filem Master Z: The Ipman Legacy

Sedikit sinopsis mengenai filem ini, ia mengisahkan Cho Yan Juan (Michelle) sebagai ketua masyarakat kumpulan rahsia di Hong Kong. Walaupun kumpulannya sering dikaitkan dengan keganasan, Cho mempunyai hati yang baik. Cho juga akhirnya ambil keputusan untuk keluar dari kumpulan tersebut dan ingin jalani hidup yang lebih baik.

Bagaimanpun, semuanya berubah apabial musuh ketat bernama Davidson (Dave Bautista) muncul dan mencabar pakar bela diri tempata Cheung Tin Chi (Max Zhang Jin) untuk berentap. Sedar dengan situasi itu, Cho merasakan sudah tiba masanya untuk kembali bagi menyelesaikan perkara itu.

Jika anda ingin tahu apa kesudahannya, jangan lupa untuk menyaksikan filem Master Z: The Ipman Legacy di pawagam berdekatan bermula 25 Disember ini. Selamat menonton!

Pengarah Urusan Lotus Five Star Dato Garuna Murthee bersama Tan Sri Michelle Yeoh.

Di kesempatan ini, kami dari pihak OHBULAN! ingin mengucapkan terima kasih kepada Lotus Five Star kerana diberi peluang berharga untuk menyaksikan sendiri secara dekat penggambaran filem Master Z: The Ipman Legacy di Foshan, China.

The following two tabs change content below.

Ash Nordin

Content Champions at Rev Asia Berhad
Bukan Norman Hakim, Bukan Keith Foo. Ashie, lelaki tegar.