berita

#OhBulanTutupChapter23: Selebriti Gah Di Persada Seni..Michelle Yeoh Genggam Oscar & Fenomena ‘Yak Yak Yeah’ Antara Sorotan Utama

December 21st, 2023 | by Alia
OB Eksklusif

artis berjaya 2023

Karya yang ditonjolkan oleh anak-anak seni di negara ini semestinya menjadi kebanggaan segenap masyarakat. Usaha yang seiring dengan kreativiti dan sokongan peminat menjadi faktor nama mereka diangkat.

Sebelum 2023 melabuhkan tirai jom tengok senarai kejayaan selebriti tanah air sepanjang tahun ini.

1. Tan Sri Michelle Yeoh

Permata negara yang bersinar di arena antarabangsa, Tan Sri Michelle Yeoh melakar sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama dan pelakon wanita pertama dari Asia yang merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) ke-95.

Anak kelahiran Ipoh, Perak ini meraih kemenangan itu menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All At Once sekali gus menewaskan empat calon hebat lain iaitu Andrea Riseborough, Cate Blanchett, Michelle Williams dan Ana de Armas.

Artikel Berkaitan: Welcome Home! Michelle Yeoh Selamat Pulang Ke Tanah Air, Bawa Trofi Oscars Ke Pusara Bapa

2. Jasmine Suraya

Tidak salah jika OhBulan! memberi jolokan ‘beauty with brain’ kepada Jasmine kerana menjadi aktres Malaysia pertama yang berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang lakonan di sebuah akademik terkemuka dunia, Lee Strasberg Theatre and Film Institute di Los Angeles.

Menurut pelakon filem Paskal ini, dia telah menjalani pelbagai proses rumit untuk mendapatkan tempat di akademi tersebut dan bakal memulakan sesi pembelajaran pada Januari hadapan.

Artikel Berkaitan: Jasmine Suraya Artis Malaysia Pertama Berjaya Sertai Akademik Lakonan Terkemuka Di LA! Setaraf Lady Gaga & Angelina Jolie

3. Bell Ngasri

Bell Ngasri Kereta

37 tahun bergelar anak seni bukanlah satu perjalanan yang mudah buat Bell Ngasri namun ianya berbaloi setelah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35).

Ketika ditemui OhBulan!, Bell berkata dia banyak mendapat tawaran lakonan selepas kemenangan tersebut hasil daripada sokongan peminat terhadapnya.

Alhamdulillah. Selepas menang sekarang bertambah sibuk namun bukan semua benda dapat saya buat.

Tawaran yang datang semuanya bagus-bagus dan dalam masa yang sama saya juga ingin berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyokong.

Menerusi kemenangan yang sama, Bell juga menerima hadiah sebuah kereta jenis Mini Cooper Clubman S.

Artikel Berkaitan: #ABPBH35: ‘Yak Yak Yeah’ Menang! Malaysia & TV3 Isytihar Bell Ngasri Bintang Paling Popular

4. Aina Abdul

Aina Abdul

Tak terhitung dengan jari kejayaan yang diciptakan oleh Aina Abdul namun antara yang paling membanggakan adalah menjadi juara di Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) serta meraih trofi di ABPBH35 bagi kategori Penyanyi Wanita Popular.

Antara yang tidak dapat dilupakan juga adalah konsert mega A Night With Aina Abdul 3.0 yang dihadiri hampir 10,000 penonton di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Tidak hanya dia Malaysia, penyanyi berusia 30 tahun ini juga mengharumkan nama negara apabila dipilih menjadi wakil untuk beraksi di pentas ABU TV Song Festival 2023 yang berlangsung di Korea Selatan.

Terbaru, Aina bakal berentap di pentas AJL38 menerusi karyanya berjudul Jangan Mati Rasa Itu yang turut diumumkan sebagai lagu terbaik pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM38).

Artikel Berkaitan: Cukup Seorang Aina Abdul Mampu Tawan 10,000 Penonton! Ini 10 Momen Menarik ‘A Night With Aina Abdul 3.0’

5. Meerqeen

meerqeen gosip

Fenomena drama Melur Untuk Firdaus telah membuka ruang untuk aktor berusia 22 tahun ini memperoleh pelbagai tawaran antaranya sekali lagi menjadi teraju utama musim kedua drama tersebut, drama Nenek Bongkok Tiga, filem Harimau Malaya: The Untolds Story dan muncul di dalam muzik video penyanyi Indonesia, Raisa.

Bukan itu sahaja, Meerqeen juga berjaya meraih trofi bagi dua kategori di ABPBH35 iaitu Aktor TV Lelaki Popular dan Couple TV Popular.

Sepanjang tahun ini Meerqeen telah membintangi lima buah filem dan drama selain dilantik sebagai duta bagi tujuh jenama produk terkenal.

Artikel Berkaitan: Meerqeen Laku Keras! Kerja ‘Back To Back’ Dari Januari, Hasilkan 5 Naskhah & 7 Endorsement

6. Anna Jobling

Pelakon kacukan Melayu Inggeris ini sering menjadi perhatian bukan sahaja di Malaysia namun sudah mula menempa nama di negara seberang selepas kejayaan drama Melur Untuk Firdaus.

Alhamdulillah, untuk tahun 2023 ini Anna banyak terlibat dengan produksi Indonesia dan banyak ulang alik dari KL ke Indonesia. Anna baru sahaja selesai penggambaran sebuah filem genre seram, arahan pelakon dan pengarah versatil Indonesia, Baim Wong. Anna rasa tawaran ini adalah satu penghargaan untuk diri Anna kerana Anna dapat berganding bersama dengan pelakon-pelakon hebat Indonesia.

Bukan itu sahaja, Anna juga berpeluang membintangi muzik video lagu berjudul Bertengkar Manis yang dipopularkan oleh penyanyi terkenal, Datuk Rossa.

Macam tak percaya Teh Ocha (Rossa) beri peluang kepada Anna untuk membintangi muzik video lagu popularnya. Pengalaman bekerja untuk produksi ini menyeronokkan dan hasilnya juga sangat fantastik.

Sokongan peminat terhadap Anna juga dapat dilihat apabila Anna berjaya merangkul trofi bagi kategori BBNU Wanita Popular, Aktres TV Popular dan Couple Drama Popular di ABPBH35.

Dalam masa yang sama, pelakon berusia 23 tahun ini juga dipilih sebagai ‘muka utama’ bagi jenama-jenama terkenal lokal dan antarabangsa.

Artikel Berkaitan: Anna Jobling Jadi Pelakon Utama Di Indonesia -‘Saya Akan Jaga Nama Malaysia, Tidak Lupa Diri’

7. Kugiran Masdo

masdo

Lagu Pujaanku yang dinyanyikan oleh Kugiran Masdo bersama penyanyi, Aisyah Aziz menjadi antara lagu trending sepanjang tahun 2023.

Pujaanku antara halwa telinga kegemaran para pendengar di platform Spotify dan mendapat sambutan luar biasa sehingga berjaya mengungguli carta penstriman muzik itu hampir setiap minggu.

Terdahulu, lagu Dinda juga berjaya mendapat tempat di hati peminat dan viral bukan sahaja di negara ini malah turut popular di Indonesia.

Artikel Berkaitan: Kugiran Masdo Syukur, ‘Pujaanku’ Ungguli Carta Spotify Hampir Setiap Minggu – ‘Kami Pun Tak Tahu Mana Magisnya Sampai Viral’

SKIP THIS AD ×