berita

Kami Mat Rempit! – The Killers

September 24th, 2013 | by Ai
Kini Trending

The Killers Live In Malaysia-2

Itulah ayat pertama yang dikatakan oleh vokalis The Killers, Brandon Flowers ketika berada di atas pentas di Sepang pada malam Ahad lepas untuk konsert The Killers Live In Malaysia. Tak semena-mena, lebih 7 ribu orang peminat menjerit sambil ketawa.

Hanya sekadar bergurau mungkin, para peminat tidak mengambil serius dengan ayat itu, malah lebih ramai yang berpusu-pusu memenuhi ruang hadapan pentas untuk melihat dengan lebih dekat kumpulan The Killers yang pertama kali membuat persembahan di Malaysia.

Malam penuh bermakna bagi peminat The Killers itu dibuka dengan persembahan khas kumpulan indie rock Kyoto Protocol yang sempat menghiburkan peminat pada jam 8 malam selama 30 minit. Untuk pengetahuan, Kyoto Protocol sebelum ini pernah bermain diatas satu pentas bersama Bloc Party dan The Temper Trap di Future Music Festival Asia yang berlangsung pada Mac 2013.

Bagaimanapun, peminat kemudiannya terpaksa menunggu hampir satu jam sebelum The Killers muncul di pentas pada jam 9.30 malam. Namun itu tidak mematahkan semangat mereka yang hadir, malah ketika sedang menanti pun, peminat-peminat tempatan terus memberikan sorakan meriah dan sokongan padu pada The Killers yang dianggotai oleh Brandon Flowers, Dave Keuning, Mark Stoermer, dan Ronnie Vannucci, Jr.

The Killers Live In Malaysia-9

Lautan peminat yang datang membanjiri konsert The Killers Live In Malaysia

Dimulakan dengan lagu Mr. Brightside, The Killers berjaya memukau semua peminat yang hadir dengan persembahan mantap mereka. Rata-rata peminat yang baru pertama kali menyaksikan konsert The Killers kagum dengan vokal Brandon yang langsung tidak berubah walaupun ketika persembahan secara langsung.

Diikuti dengan lagu Spaceman dan The Way It Was, The Killers telah mempersembahkan lebih kurang 17 buah lagu termasuklah lagu hits mereka, Somebody Told Me, Human, Read My Mind, Jenny Was A Friend Of Mine dan banyak lagi. Walaupun persembahan mereka hanya diadakan selama 90 minit, namun ia sudah cukup memuaskan para peminat yang hadir ke Sepang pada malam itu.

The Killers Live In Malaysia-1

Brendan Flowers, vokalis The Killers

Dari segi persediaan pentas, Future Sound Asia berjaya memberikan susun atur terbaik dari segi penggunaan lampu dan tidak kurang juga pada sistem audio yang berkelas dunia. Beberapa orang pengkritik muzik yang hadir mengakui Future Sound Asia berjaya memberikan kepuasan kepada para peminat dari segi kualiti penganjuran.

Dibawakan secara khas oleh Future Sound Asia (FSA), The Killers mula popular menerusi album Hot Fuss pada tahun 2004 dengan lagu-lagu seperti Mr. Brightside, Somebody Told Me, All These Things That I’ve Done dan banyak lagi. Hasilnya, mereka berjaya menarik perhatian ramai peminat dalam waktu yang singkat. Sehingga kini, kumpulan yang berasal dari Las Vegas ini mempunyai ramai pengikut tersendiri dari seluruh dunia.

Apa pun, bagi anda yang terlepas menyaksikan persembahan The Killers pada hari Ahad lepas, ubati hati anda dengan membeli album terbaru The Killers, Battle Born.

Lawati Facebook rasmi Future Sound Asia untuk maklumat lanjut mengenai konsert yang akan datang.

SKIP THIS AD ×