Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dipercayai hilang selepas mengikut datuk dan bapanya melakukan kerja pemasangan papan tanda pada pokok di dalam hutan. Kanak-kanak yang bernama Patrick itu hilang sejak hari Rabu (4 March 2020) di ladang kelapa sawit di Rapak Baru, Pantu, di Sri Aman, Sarawak.
Hanya berbekalkan sebotol susu
Memetik laporan Metro, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilakukan melibatkan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dan unit anjing pengesan (K9).
Selain itu, operasi ini turut dibantu oleh anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Relawan Malaysia (RELA), Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan kira-kira 30 penduduk kampung.
Operasi SAR hari ini bermula jam 9 pagi di dalam kawasan ladang sawit, sungai dan di cerun bukit dan dipecahkan kepada lima pasukan pada radius kira-kira enam kilometer keliling.
Sepanjang pencarian, belum ada tanda-tanda kanak-kanak itu dikesan. Berikutan itu operasi tangguhkan pada jam 6 petang dan akan disambung semula esok.
Ditinggalkan di pondok kecil
Patrcik Igih Mohd Taufik mengikut datuk dan bapa yang mengiringi kakitangan Sarawak Forestry Corporation (SFC) melakukan kerja pemasangan papan tanda pada pokok di dalam hutan itu. Difahamkan laluan pendakian menuju ke tempat pemasangan itu agak tinggi dan mangsa ditinggalkan di sebuah pondok kecil dengan hanya berbekalkan sebotol susu.
Selepas menghantar satu papan tanda ke lokasi pemasangan kira-kira satu kilometer dari pondok itu, datuk mangsa kembali semula untuk mengambil papan tanda yang lain. Ketika itu datuknya baru menyedari mangsa sudah tiada di pondok berkenaan. Manakala terdapat beberapa saksi mendakwa ternampak mangsa berjalan sendirian ke tempat motosikal bapanya.
Pakaian terakhir yang dipakai Patrick adalah baju berwarna putih dan kuning serta berseluar panjang hitam.
Sumber: Metro