Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dikhuatiri lemas dalam kejadian di kolam kumbahan Taman Sejati Indah, kelmarin akhirnya berjaya diselamatkan selepas 30 minit usaha menyelamat yang mendebarkan.
Artikel Berkaitan: Gara-Gara Sinki Jiran Meletup, Budak 9 Tahun Melecur ‘Tersiram’ Asid – ‘Hati Ibu Mana Yang Tidak Pilu Anak Melecur Hampir Seluruh Badan’
Artikel Berkaitan: Kanak-Kanak 8 Tahun Meninggal Dunia, Lemas Ketika Bermandi-Manda Di Taman Tema Di Alor Gajah
Hanyut 30 minit
Difahamkan, dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, Mohamad Harith Nasrullah Mazzwan terjatuh ke dalam longkang sebelum hilang dibawa arus deras hingga ke dalam kolam kumbahan.
Menurut ibu kepada mangsa, Naziroh Abdullah, 40, kejadian selama 30 minit tersebut sungguh mendebarkan. Namun, dia bersyukur kerana nyawa anaknya masih dipanjangkan setelah terselamat di sebalik pokok keladi bunting dalam kolam tersebut.
Sebaik melihat kejadian itu, saya berlari dan cuba mencapai tangan anak (Mohamad Harith) yang hanyut dibawa arus deras di dalam longkang. Sambil berlari, saya menjerit meminta jiran-jiran supaya mereka menghubungi pihak bomba. Dalam masa sama, saya cuba capai tangan anak, tetapi gagal kerana arus air terlalu deras.
Tidak lama kemudian anak saya hilang daripada pandangan mata. Ketika itu saya hanya mampu berserah kepada Allah SWT. Benarlah kuasa Allah mengatasi segala-galanya apabila dia berjaya diselamatkan anggota bomba tidak lama kemudian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguatkuasa Bomba Mohamad Syukri Hashim memaklumkan pihaknya segera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
Sebaik sampai di kawasan kolam kumbahan, kami ternampak tangan kanak-kanak seperti melambai di permukaan kolam. Anggota bomba kemudian terjun ke dalam kolam kumbahan tersebut dan berjaya membawa naik mangsa sebelum diberikan rawatan awal.
Kanak-kanak berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Sumber: Kosmo