Siapa sangka siapa menduga, seorang ibu sanggup meninggalkan darah daging sendiri sebatang kara tanpa perlindungan dan penjaga yang sah. Lebih menyedihkan, anak yang ditinggalkan merupakan orang kelainan upaya (OKU) berusia 12 tahun.
Gara-gara ibu sendiri, anak sekecil itu terpaksa menumpang teduh di sebuah pusat siber di Kempas, Johor Bahru, sejak awal bulan ini. Dia kemudiannya ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tampoi, Johor Bahru apabila ditinggalkan ibu kandungnya.
Lembam tapi boleh berkongsi maklumat
Menurut Harian Metro, ibunya dikatakan telah berpindah dan gagal dikesan menyebabkan mangsa terpaksa mendapatkan perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pegawai JKM Johor Bahru, Normawarni Mahat berkata, kisah kanak-kanak itu terbongkar apabila dia dikesan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, 12 Oktober lalu.
Walaupun lembam dan tidak memiliki sebarang dokumen, kanak-kanak itu masih boleh berkongsi maklumat berkaitan identiti dirinya, tempat tinggal lama dan maklumat ibunya.
Kanak-kanak berkenaan, Muhammad Haffizzudden Husain, menyatakan ditinggalkan ibu kandungnya, Norzimah Abdullah, 42, di tempat awam sebelum pemilik pusat siber mengajaknya tinggal di premis berkenaan, sejak awal Oktober lalu.
Pernah tinggal di Anjung Singgah
Kanak-kanak itu kemudian ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tampoi sebagai penempatan sementara. Sebelum ini dia pernah tinggal di penempatan sementara gelandangan Anjung Singgah.
Pada 14 Oktober 2018, kanak-kanak berkenaan dibawa oleh pelindung ke tempat kerja ibunya dan tempat tinggal keluarganya berhampiran Pasaraya A-Mart Kempas.
Bagaimanapun mengikut maklumat, keluarganya sudah berpindah dan hasil semakan, ibu kandung kanak-kanak berkenaan pernah menerima bantuan segera daripada JKM pada Julai tahun lalu untuk tujuan pulang ke Kluang, Johor.
Malah kanak-kanak berkenaan bersama keluarganya juga pernah ditempatkan di Anjung Singgah, Johor Bahru untuk penempatan sementara.
Menurutnya, orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan waris dan keluarga kanak-kanak berkenaan boleh menghubungi talian 07-2232606.
Sumber: Harian Metro