Dalam sebuah kejadian di Sungai Petani, Kedah, seorang kanak-kanak ditimpa nasib malang apabila dia secara tiba-tiba didatangi seorang lelaki dan ditikam di dalam rumahnya sendiri.
Menerusi laporan Harian Metro, kanak-kanak perempuan yang baru berusia lima tahun itu telah ditikam di bahagian perut oleh suspek yang juga merupakan jirannya sendiri, semalam.
Masuk dari pintu dapur
Menurut laporan portal tersebut, suspek berusia 27 tahun itu dikatakan telah memasuki rumah mangsa sebelum menikam kanak-kanak terbabit yang pada ketika itu sedang berbaring di ruang tamu rumahnya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata suspek dipercayai memasuki rumah mangsa melalui pintu dapur yang pada ketika itu tidak berkunci sebelum secara tiba-tiba meluru masuk dan menikam mangsa dengan sebelah pisau.
Suspek dikatakan meluru masuk ke rumah mangsa dan terus menikam perut sebelah kiri mangsa dengan sebilah pisau.
Katanya, selepas kejadian itu suspek terus melarikan diri semula ke rumahnya yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari rumah mangsa.
Suspek melarikan diri ke rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mangsa selepas mendengar jeritan ibu dan kakak mangsa yang ketika itu turut berada di ruang tamu rumah berkenaan.
Positif dadah
Adzli dalam pada itu berkata, susulan kejadian yang berlaku pada jam 2:30 petang itu, suspek kemudian berjaya ditahan oleh pihak polis di rumahnya dan merampas pisau yang digunakan oleh suspek.
Pisau terlibat dipercayai adalah milik suspek dan telah dibuang di kawasan semak berdekatan rumah suspek, semasa dirampas masih ada kesan darah.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek adalah positif dadah malah individu tersebut juga pernah mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes pecah rumah.
Difahamkan pada malam sebelum hari kejadian, suspek dilihat mengamuk akibat daripada pengaruh dadah.
Ekoran daripada kejadian malang itu, mangsa telah mengalami kecederaan serius akibat kesan tikaman sedalam kira-kira empat meter dan menerima rawatan di zon merah di Hospital Sultan Abdul Halim.
Mohon maaf
Sementara itu, menceritakan lebih lanjut tentang tragedi yang menimpa kanak-kanak malang tersebut, kakak mangsa Siti Khalijah Zulkefli berkata mereka sekeluarga terkejut dan tergamam dengan kejadian yang berlaku secara tiba-tiba itu.
Malah katanya, suspek terbabit juga dikatakan telah memohon maaf kepada keluarga mereka kira-kira lima minit selepas dia bertindak melakukan jenayah tersebut selain turut mengaku bahawa dirinya tidak sedar melakukan perkara itu terhadap mangsa.
Namun, tidak sampai lima minit, dia datang semula dan memohon maaf kepada kami, dakwanya dia tidak sedar apa yang dilakukan.
Dalam maklumat terbaru, suspek dilaporkan telah direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Sumber: Harian Metro, Sinar Harian