Mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat Malaysia untuk mendengar kecurian berlaku di masjid. Lagi-lagi kasut ataupun selipar. Sedangkan OHBULAN! sendiri pun pernah menjadi mangsa kecurian selipar. Ya, selipar ‘jepun’.
Namun bagi bintang hip hop dari Amerika, Ali Shaheed yang sedang dalam berada di Malaysia untuk “Adidas All Originals ‘Breathe And Stop’ Southeast Asia 2012 Tour“, perkara ini adalah sesuatu yang mengejutkan serta mengecewakannya. Ali Shaheed turut menulis kekecewaannya ini di akaun Twitter rasminya.
Ali dalam temubualnya bersama Dailychilli memberitahu sebenarnya dia tidak kecewa dengan kehilangan kasutnya, tetapi dia kecewa kerana kasut itu dicuri pada bulan Ramadhan. Ketika kejadian ini berlaku, dia sedang mengerjakan solat Asar didalam masjid dan ini menyebabkan dia benar-benar terkilan.
“Jadi, ini adalah bulan dimana jika anda telah melakukan kesilapan sepanjang 11 bulan yang lepas, inilah masanya untuk menebus kembali kesilapan itu. Perkara yang berlaku menyebabkan saya benar-benar kecewa,” ujar Ali Shaheed.
Untuk pengetahuan, kejadian ini berlaku pada 9 Ogos lalu, sehari selepas hari lahirnya yang ke-42. Sebagai rakyat Malaysia, OHBULAN! rasa ini perkara yang sangat memalukan kepada kita. Ingat, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.