Kemelut antara juri tetap Famili Duo, Mas Idayu dan penyanyi, Sissy Imann nampaknya masih berlanjutan apabila masing-masing mengambil keputusan untuk berdiam diri selepas persembahan separuh akhir, semalam (Ahad).
Artikel berkaitan: Ambil Keputusan Enggan Beri Komen, Tiba-Tiba Mas Idayu…
Terbuka menerima komen juri
Biarpun Mas Idayu diminta untuk memberikan komen oleh hos iaitu Janna Nick dan Sean Lee, penyanyi dangdut itu tetap dengan keputusannya untuk tidak memberikan komen. Sissy pula hanya mengucapkan, Alhamdulillah ketika diminta untuk memberikan sepatah dua kata.
Sepupu Sissy, Naim Daniel berkata, dia terbuka menerima sebarang kritikan dan pandangan daripada juri mahupun penonton.
Kami berdiri atas kapasiti penyanyi dan terbuka menerima setiap komen juri.
Manakala, juri tetap, Ajai melihat konsep mahkamah yang dipilih Naim dan Sissy seolah-olah simbolik kepada keadilan dan mempunyai kaitan dengan isu minggu lalu.
Ketika sesi temu bual bersama pihak OhBulan!, Sissy dan Naim berkata mereka memilih untuk tidak merayu komen daripada Mas Idayu.
Ujar Naim, Famili Duo adalah sebuah persembahan hiburan keluarga. Oleh itu, terpulang kepada juri untuk menilai persembahan mereka.
Nafi kecil hati
Berbicara mengenai kontroversi minggu lepas, Sissy, 28, nafi berkecil hati dengan komen Mas Idayu. Jelas pelantun lagu Mungkin Kamu, dia berdiam diri kerana terlalu kecewa dengan diri sendiri apabila gagal menjadi penyanyi terbaik, meskipun sudah hampir sedekad berada di dalam industri seni.
Saya menangis kerana kecewa dengan diri sendiri. Saya sudah mengecewakan Naim kerana persembahannya okay pada malam itu. Jadi, persembahan tidak menjadi disebabkan saya.
Disoal sama ada pemilik nama Sissy Imann Mohammad Kamil sudah menghubungi Mas Idayu untuk menjernihkan keadaan, jawabnya dia belum lagi membuat keputusan.
Kita tengok macam mana, saya memang tidak menghubungi sesiapa, melainkan Naim sejak minggu lalu. Saya juga tidak mahu terlalu memikirkan apa yang berlaku, minggu lalu bagi menjaga kesihatan mental.
Terdahulu, Sissy menangis di atas pentas ketika siaran langsung dan kemudiannya memuat naik status memohon maaf kerana gagal memberikan persembahan terbaik.
Selain itu, pengacara tersebut telah membuat keputusan membatalkan pelancaran album sulung yang sepatutnya berlangsung pada 2 Februari 2023.