
Sedekah merupakan amalan mulia yang dituntut dalam Islam pada setiap masa, tanpa mengira hari atau keadaan.
Artikel Berkaitan: Fadhilat Surah Al-Waqiah: Magnet Rezeki & Ketenangan Hati
Artikel Berkaitan: Hikmah Membaca Doa Iftitah Dalam Solat
Pahala mengalir
Nilai sedekah bukan terletak pada jumlah yang diberi, tetapi pada keikhlasan hati serta keinginan yang tulus untuk membantu sesama manusia.
Lebih istimewa, pahala sedekah akan terus mengalir walaupun seseorang itu tidak lagi mampu beramal, kerana setiap kebaikan yang terhasil daripadanya menjadi sumber ganjaran berpanjangan.
Dalam Islam, amalan bersedekah pada hari Jumaat, terutamanya pada waktu Subuh, sering dianggap lebih istimewa kerana dikaitkan dengan keberkatan waktu serta pintu rezeki yang terbuka luas.
Kelebihan sedekah pada hari Jumaat amat besar, sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Khuzaima, bahawa sesiapa yang bersedekah pada hari tersebut akan memperoleh ganjaran seumpama bersedekah sepanjang setahun penuh.
Hari Jumaat merupakan hari yang paling diberkati, penuh rahmat dan kegembiraan bagi umat Islam, dan memberi sedekah adalah salah satu cara menyambut keberkatan hari tersebut.
Ganjaran pahala yang dijanjikan bukan sahaja meringankan beban orang yang memerlukan, tetapi juga menjadi jalan untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Bersedekah tanpa halangan
Dengan perkembangan teknologi masa kini, amalan bersedekah turut berevolusi ke bentuk digital, membolehkan sesiapa sahaja menyalurkan sumbangan secara dalam talian dengan lebih cepat dan mudah.
Melalui pelbagai platform, aplikasi dan laman web amal, mereka yang sibuk atau berada pada jarak yang jauh tetap berpeluang untuk bersedekah khususnya pada hari Jumaat.
Cara ini juga dapat memastikan sesiapa sahaja yang berhasrat untuk beramal dapat melakukannya tanpa halangan dari segi lokasi atau masa.
Hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, menyebutkan bahawa sesiapa yang bersedekah selepas waktu Subuh hingga sebelum solat Jumaat, Allah akan melipatgandakan kebaikan yang dilakukan serta meluaskan rezekinya.
Amalan ini memberi peluang istimewa kepada sesiapa sahaja untuk meraih ganjaran yang lebih besar, justeru digalakkan untuk mengambil kesempatan bersedekah pada waktu Subuh pada hari yang mulia ini.
Sumber: Yayasan Ikhlas