berita

Kematian Ditangisi Rakyat India, Suara Emas Lata Mangeshkar Dalam Filem Terkenal Bollywood Bakal Dirindui Peminat

February 9th, 2022 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Tanggal 6 Februari yang lalu, dunia digemparkan dengan berita pemergian penyanyi lagenda dan bintang Bollywood, India iaitu Lata Mangeshkar. Beliau meninggal dunia pada usia 92 tahun akibat dijangkiti wabak Covid-19.

Dikenali sebagai seorang penyanyi berbakat, berikut latar belakang dan kejayaan yang pernah diraih oleh beliau sepanjang kehidupannya.

Jadi vokalis terkemuka

Mangeshkar dilahirkan pada 28 September 1929 di pusat bandar Indore. Beliau memulakan karier seninya seawal usia lima tahun hasil latihan bapanya, Deenanth. Apabila bapanya meninggal dunia, beliau terpaksa memikul tanggungjawab menyara ibu dan empat adik beradiknya yang lain. Mereka sekeluarga berpindah ke Mumbai pada tahun 1945. Sebaik berpindah, Mangeshkar meneruskan karier nyanyiannya, merakam suara untuk digunakan pelakon dan kebolehannya bernada tinggi menjadikan resipi wajib filem terlaris Bollywood.

Lima tahun kemudian, dia mendapat peluang pertama menyanyikan lagu untuk filem “Aapki Sewa Mein”. Dalam kerjaya yang prolifik, dia menjadi vokalis terkemuka industri filem India dan menyanyi lebih daripada 1,000 filem. Lagu-lagunya dimainkan pada sambutan Hari Republik rasmi negara setiap tahun.

Untuk pengetahuan korang semua, sebelum disahkan positif covid-19 dan meninggal dunia, Mangeshkar dipercayai masih aktif bernyanyi! Lata dianggarkan mempunyai lebih dari 50,000 buah lagu yang dicipta oleh beliau sendiri. Ini termasuklah lagu bagi filem Kabhi Kushi Kabhi Gham, One 2 Ka 4 dan banyak lagi! Bukan itu sahaja, Mangeshkar boleh menyanyikan lagu lebih dari 14 bahasa termasuk lagu Sekuntum Mawar Merah dan Di Tepi Pantai. Wow!

Dianggap jelmaan Tuhan

Korang percaya atau tidak, di India Lata Mangeshkar telah disembah dan dipuja kerana dianggap sebagai jelmaan Tuhan kerana mempunyai suara yang lunak dan masih mampu bertahan sehingga ke hari ini. Mendiang pernah dijemput kerajaan bagi menyanyikan lagu patriotik sebagai penghormatan kepada anggota tentera yang terbunuh dalam perang Indo-China pada tahun 1962. Cara nyanyiannya yang membawa lagu ‘Oh the People of my Country’ berupaya menitiskan air mata Perdana Menteri ketika itu, Jawaharlal Nehru.

Bersama adiknya, Asha Bhonsle, Mangeshkar mendominasi senarai muzik Bollywood lebih separuh abad dan disifatkan sebagai penyanyi lagenda oleh sebahagian besar penggiat seni India. Beliau juga terkenal dengan sifatnya yang sering menyanyi tanpa memakai kasut dan menulis sendiri bait lirik sebelum merakamnya. Pada tahun 2001, Mangeshkar dianugerahkan Bharat Ratna, pengiktirafan tertinggi untuk orang awam oleh kerajaan India selain pernah menerima anugerah France’s Legion d’Honneur pada tahun 2009 sebagai penghormatan di atas sumbangannya dalam industri muzik dan filem India.

Anugerah dan penghargaan

Antara anugerah yang pernah diraih oleh Mangeshkar sepanjang berkecimpung dalam bidang seni adalah seperti berikut. Memenangi anugerah Bharat Ratna, Padma Bhushan, Padma Vibhushan, Zee Cine Award for Lifetime Achievements, Dadasaheb Phalke Award, Maharashtra Bhushan Award, NTR National Award, Bharat Ratna, Legion of Honour, ANR National Award, tiga anugerah National Film Awards dan 15 anugerah Bengal Film Journalists’ Association Awards. Mendiang turut memenangi empat Filmfare Best Female Playback Awards. Pada tahun 1969, beliau telah membuka peluang kepada artis baharu untuk memenangi anugerah Filmfare Best Female Playback Award.

Siapa sangka, rezekinya bertambah selepas itu apabila dinobatkan anugerah Filmfare Lifetime Achievement Award pada tahun 1993 dan Filmfare Special Awards pada tahun 1994 dan 2004. Tahun demi tahun, Mangeshkar tidak henti menerima anugerah. Beliau turut menerima penghargaan sebagai doktor falsafah daripada Sangeet Natak Akademi, Indira Kala Sangeet Vishwavidyalaya, Khairagarh dan Shivaji University di Kolhapur.

Disahkan positif Covid-19

Pada bulan Januari lalu, Lata Mangeshkar dilaporkan sudah menunjukkan perkembangan yang positif selepas seminggu dimasukkan ke hospital akibat jangkitan Covid-19. Bagaimanapun, pakar yang merawatnya Dr Pratit Samdani berkata, Lata masih kekal ditempatkan Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Breach Candy.

Dia masih terus berada di ICU untuk pemantauan. Ada perkembangan kecil berbanding tahap kesihatannya yang kurang baik.

Perkembangan positif itu sekaligus melegakan ramai pihak. Keluarganya juga turut bersyukur dengan berita baik itu namun akur Lata masih perlu dipantau di ICU. Namun, sehari selepas itu berita melaporkan keadaan kesihatan penyanyi tersebut semakin merudum. Ujar Pratit, terdapat jangkitan kuman pada paru-paru Mangeshkar. 6 Februari 2022, masyarakat di India dan dunia terkejut apabila menerima berita pemergian penyanyi lagenda itu. Kehilangan Mangeshkar merupakan kehilangan yang cukup besar buat industri seni di India. Ini kerana, jasa dan sumbangannya terhadap industri seni tiada gantinya. Seluruh artis di dunia turut menzahirkan ucapan takziah buat keluarga Mangeshkar dan berduka atas kehilangan beliau.

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×