Sudah hampir 11 tahun bertapak dalam industri seni hiburan, pelakon Fendy Bakry akui minatnya dalam bidang lakonan tidak pernah pudar meskipun menceburi bidang perniagaan.
‘Saya berniaga dan masih berlakon’
Ketika ditemui OhBulan!, Fendy berkata dia akan memberi fokus kepada perniagaan dan kariernya. Pelakon berusia 35 tahun itu berkata, dari segi membahagikan masa pula, dia akan berusaha sebaik mungkin untuk menjalankan kedua-dua tanggungjawabnya dengan baik.
Tambahnya lagi, dia tidak gemar memilih dua naskhah dalam satu masa kerana ianya boleh menjejaskan komitmen terhadap kerjayanya.
Saya berniaga tapi dalam masa yang sama masih berlakon. Lakonan ni sebenarnya minat saya sebab waktu mula-mula nak cebur bidang lakonan dahulu, sangatlah susah. Minat tu dah sebati dalam diri kita.
Macam saya, walaupun saya dah buat bisnes tapi saya tak akan tinggalkan industri seni. Bagi saya bisnes ni penting juga sebab ada tenaga kerja yang saya kena jaga.
Ditanya mengenai pendapatnya berhubung sesetengah pempengaruh media sosial menceburkan diri dalam bidang lakonan, Fendy berkata perkara tersebut tidak menjadi masalah tetapi individu terbabit perlu mempunyai bakat dan membuat persediaan sebelum masuk ke set penggambaran.
Ini mungkin satu rezeki bagi mereka sebab kita tak tahu rezeki orang tu. Cumanya nasihat saya, mereka ni perlu ada ilmu tu dulu. Sebab bila penggambaran, tak semudah yang kita sangka. Waktu penggambaran pun tidak menentu. Influencer yang masuk bidang ni perlu buat persediaan awal dari segi ilmu, teknik lakonan dan sebagainya.
Sekadar info, Fendy Bakry bersama Riena Diana akan berlakon menerusi satu drama romantik komedi ‘Hello Jodoh’ arahan Azmi Hata yang akan bersiaran di slot Lestary TV3.