Berkhatan antara tuntutan dalam Islam untuk menjamin kebersihan sekaligus memastikan amal ibadat diterima di sisi Allah. Ramai ibu bapa yang mengambil kesempatan cuti sekolah panjang untuk mengkhatankan anak masing-masing.
Proses berkhatan kebiasaannya mengambil masa seminggu untuk pulih sepenuh. Namun bagi seorang remaja, pengalaman itu membuatkan dirinya trauma setelah berlaku kecuaian di pihak yang mengendalikan proses berkhatannya.
Didakwa cuai
Remaja berusia 18 tahun itu telah terputus kepada alat sulitnya ketika berkhatan 8 tahun lalu. Dia kemudiannya memfailkan saman terhadap pembantu perubatan (MA) dan lima lagi individu kerana cuai menyebabkannya cacat kekal.
Remaja itu selaku plaintif mendakwa, pada 13 Disember 2010, MA (defendan pertama) itu bersama seorang lagi pembantu (defendan kedua) mengkhatankannya dengan kebenaran dan pengetahuan doktor bertugas.
Ketika kejadian plaintif berusia 10 tahun dan ia dilakukan di sebuah kediaman di Kuala Lipis, Pahang.
Dakwa remaja itu, MA berkenaan tidak mengikut prosedur dan tidak berhati-hati apabila memotong keseluruhan kepala alat sulitnya. Akibat perbuatan kecuain itu, kepala alat sulit remaja berkenaan terputus dan darah keluar dengan banyak.
Dakwa glans penis mungkin tumbuh apabila baligh
Defendan pertama didakwa mendapatkan semula bahagian kemaluan yang terputus dan membuat penyambungan semula kepala alat sulit dengan menjahitnya tanpa mengikut prosedur yang betul.
Plaintif mendakwa defendan kedua tahu bahawa kepala alat sulitnya (glans penis) sudah putus tetapi tidak memaklumkan keadaan sebenar. Sebaliknya, ahli keluarga dimaklumkan salur kencingnya terpotong.
Doktor pakar Hospital Selayang didakwa memberi jaminan bahawa ‘glans penis’ itu berkemungkinan akan tumbuh apabila plaintif berusia baligh. Namun sehingga kini ‘glans penis’ itu tidak tumbuh langsung dan remaja itu cacat kekal.
Akibat daripada kecacatan kekal itu, plaintif berubah sikap menjadi pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya dan hanya berkawan dengan kanak-kanak lebih kecil serta tidak faham langsung dunia seksualiti. Plaintif mendakwa terpaksa menanggung perbelanjaan dan kos yang tinggi iaitu sebanyak RM108,356.
Sumber: Berita Harian