Selepas lima tahun berhijab, pelakon Emma Maembong mengesahkan dirinya tidak lagi berhijab sejak tiga hari lalu. Bahkan, ada juga peminat bergambar bersamanya dengan imej terbaru di tempat awam.
Bagaimanapun, pelakon drama Isteri Separuh Masa itu tampil memberi penjelasan dan mengakui tindakan yang dilakukannya itu bukanlah sesuatu yang baik.
Biarlah antara diri ini dengan Tuhan
Emma Maembong membuat pengakuan secara eksklusif kepada BH Online, mengakui tindakan ini adalah tiada kaitan dengan kontroversi yang melanda dirinya, tempoh hari. Bagaimanapun, pelakon ini selesa membiarkan keputusan dilakukan itu dengan berat hati dan ditanggung sendiri.
Saya mengaku khilaf ini datang daripada diri sendiri. Soal dosa dan pahala itu biarlah antara diri ini dengan Tuhan. Selepas ini, saya harus telan segala kecaman dengan lapang dada.
Untuk kita istiqamah dalam bertudung bukan perkara mudah. Pasti ada ujian yang menjelma. Jika tidak betul-betul bersedia, pasti terumbang-ambing juga iman diri. Tindakan membuka tudung bukan contoh yang baik dan jangan ikut saya.
Cuma dalam tempoh bertudung itu, bukan saya tidak mencuba untuk membulatkan hati. Namun, saat saya tewas dan perkara itu tular. Hukuman bertalu-talu datang, tetapi saya terima dengan hati terbuka.
Semua benda bagai serba tak kena
Pelakon ini mula mengenakan tudung secara suka-suka dengan memakai selendang di leher. Secara perlahan dia mula menutup aurat dikepalanya dengan tudung sepenuhnya pada lima tahun lepas.
Cara saya mengenakan selendang di leher dulu juga pantas dikecam netizen. Ada yang cakap, lebih baik bertudung penuh dan sempurna. Sedikit demi sedikit, saya mencuba untuk bertudung.
Ketika itu, saya cuba bermuhasabah dan memperbetulkan diri. Selepas saya mula bertudung dulu pun, seperti biasa cara berpakaian dan mengenakan tudung itu juga terus mengundang kritikan. Semua benda bagai serba tak kena. Benar, susah untuk saya memuaskan diri orang lain.
Seolah mereka dapat jaminan masuk ke syurga
Saya seperti berperang dengan diri sendiri. Tetapi, saya lawan segala perasaan negatif. Namun, saat hanyut dengan kekhilafan diri, baru-baru ini. Saya terus dihukum seperti mempermainkan agama. Mereka yang memberi komen pedas itu pula seolah-olah mendapat jaminan masuk ke syurga. Malah ada yang cakap, apabila sudah ‘kantoi’, baru nak minta maaf. Saya akur, diri ini manusia biasa yang tak pernah sempurna.
Meskipun, agak berat untuk keluarga Emma Maembong terima keputusan ini dan akhirnya tetap akur. Ahli keluarga merupakan orang terdekat dan bersama Emma Maembong ketika susah senang.
Cuma, mereka akur dan tahu apa yang saya lalui selama ini. Mereka lihat dengan mata sendiri segala episod jatuh bangun dan ‘sakit’ saya menjadi anak seni.
Mereka bukanlah menggalakkan saya tidak bertudung, tetapi dalam masa sama, berharap supaya suatu hari nanti saya akan kembali istiqamah.
Sampai bila nak jaga hati orang
https://www.instagram.com/p/BtizpUbAFcN/
Mengulas lanjut mengenai keputusan dan tindakannya itu, Emma Maembong berkata sudah sampai waktunya untuk dia memikirkan kebahagiaan diri sendiri.
Selama ini bukan hipokrit tetapi keputusan ini dibuat kerana saya mahu menjadi diri saya. Sudah sampai waktu saya memikirkan kebahagiaan dan kegembiraan diri sendiri.
Lagipun, ketika bertudung tiada siapa yang suruh, ia atas kerelaan sendiri. Dan, keputusan untuk buka tudung pun atas kehendak sendiri, bukan kerana orang lain.
Sampai bila nak jaga hati orang. Saya berhak cari kebahagiaan dan tersenyum gembira. Selama ini kerjaya saya menghiburkan orang lain. Saya nak juga ada kehidupan sendiri.
Tegurlah secara baik dan beri sokongan motivasi
Tambahnya lagi, keputusan untuk tidak bertudung adalah bukan keputusan yang tergesa-gesa dan sudah lama difikirkan. Dia juga sudah bersedia sekiranya ada peminat memboikot drama lakonannya selepas kecewa dengan keputusan ini.
Siapa yang masih menyokong, syukur manakala sebaliknya saya terima. Saya tak kisah kerana keluarga dan rakan-rakan tetap ada dengan saya. Itu sudah memadai.
Setiap manusia buat kesilapan. Keputusan saya ini memang salah namun tegurlah secara baik dan beri sokongan motivasi. Ini bukan keputusan mengejut tetapi sudah lama saya fikirkan.
Saya tahu ramai marah, saya minta maaf. Saya tak kisah orang bagi nasihat. Kalau benda tak elok orang nasihat saya terima bulat-bulat. Saya tak marah pun. Biarlah keputusan ini antara saya dengan Allah.