Berita terbaru berhubung hasrat kerajaan yang dikatakan akan meneliti cadangan meningkatkan had umur mandatori daripada 60 kepada 65 tahun nampaknya mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen.
Perkara yang disampaikan sendiri Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran itu dianggap sebagai tidak relevan kerana ia bakal menyekat peluang pekerjaan khususnya kepada lepasan siswazah di negara ini.
Kementerian anggap naikkan had umur beri manfaat untuk masa hadapan
Menerusi laporan Harian Metro, Kulasegaran berkata satu perbincangan sudah dibuat di antara kementeriannya dengan Kementerian Kewangan bagi memperhalusi beberapa perkara sebelum sebarang keputusan dibuat.
Bagaimanapun ketika ditanya sama ada cadangan itu dikhuatiri akan mengurangkan peluang pekerjaan kepada generasi muda, Kulasegaran sebaliknya berkata ia sebenarnya dilihat dapat memberi kebaikan kepada negara pada masa hadapan.
Negara ini kekurangan tenaga kerja dan bukannya kekurangan peluang pekerjaan. Kita mengambil ramai pekerja asing disebabkan negara ini kekurangan tenaga kerja.
Maklum balas Kulasegaran itu menyusul selepas semalam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan memperkenalkan pemberian elaun Cola bulanan RM500 atau lebih kepada pekerja swasta menerusi Belanjawan 2020 selain meningkatkan had umur bersara mandatori kepada 65 tahun.
Respon negatif
Ternyata berita terbaru itu mendapat respon negatif daripada netizen yang menganggap ia tidak sepatutnya dilaksanakan.
Mendapat lebih daripada 1k komen, rata-ratanya berkata cadangan itu bakal menyekat peluang pekerjaan terhadap mereka yang lebih muda.
Malah sebahagian daripada netizen juga menganggap kementerian sepatutnya fokus kepada meningkatkan kadar gaji minimum berbanding hasrat untuk meneliti cadangan meningkatkan had umur bersara.
Sumber: Harian Metro, Berita Harian