berita

Kerajaan Perlu Prihatin Dengan Isu Seniman – Zed Zaidi

December 13th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Kecoh apabila baru-baru ini timbul isu yang menimpa seniman veteran Datuk Yahya Sulong dan isterinya, Datin Alisah Ali yang telah diarahkan keluar oleh pihak DBKL dari rumah rumah mereka di flat Bandar Baru Sentul akibat kegagalan membayar sewa rumah bernilai RM800.

Mujur Persatuan Seniman Malaysia tampil memberi bantuan dengan menyalurkan sumbangan kepada pasangan ini, petang semalam.

Menurut Presiden Seniman, Zed Zaidi, sumbangan yang disalurkan itu disegerakan supaya pelakon veteran itu dapat terus tinggal di rumah mereka tanpa perlu keluar atau berpindah dengan keadaan Datuk Yahya Sulong yang sakit dan tidak berupaya.

Tambahnya, bantuan yang disalurkan ini bertujuan untuk mengatasi masalah-masalah kritikal dan bersifat sementara sahaja kerana persatuan hanya mempunyai sejumlah wang untuk membantu ahli persatuan.

“Persatuan memang mempunyai sejumlah wang tetapi hanya akan digunakan kepada mereka yang betul-betul memerlukan sebab kita tidak dapat geran dari kerajaan bagi membantu semua ahli. Kami mengutamakan yang benar-benar memerlukan dan berasakan kebajikan proaktif yang selalu kami tekankan,” ujarnya melalui perbualan telefon semalam.

Zed Zaidi juga memberitahu bahawa bantuan yang disalurkan tiada sebarang kaitan dengan unsur politik malah menyeru kerajaan supaya lebih perihatin terhdap kebajikan seniman tanah air yang telah banyak menyumbang dalam industri hiburan tempatan.

“Sepatutnya kerajaan perlu prihatin dengan isu seniman ini. Persatuan hanya mampu memberi idea, tapi kalau menteri tidak faham, itu yang jadi masalah. Kalau tiada seniman ini siapa yang nak bagi karya kepada industri hiburan kita,” ujar Zed lagi.

Tambahnya lagi, bantuan yang disalurkan kepada Datuk Yahya Sulong hanya untuk menjelaskan jumlah hutang rumah sewa dan tidak termasuk wang saraan kerana tidak mahu menjatuhkan imej artis.

“Bantuan yang kami salurkan kepada Datuk Yahya Sulong hanya untuk menjelaskan jumlah hutang rumah sewa dan tidak termasuk wang saraan kerana tidak mahu menjatuhkan imej artis. Persatuan tidak mahu menggalakkan pekara seperti itu kerana menganggap artis memiliki kelas tersendiri. Artis bukannya pengemis atau orang yang duduk ditepi jalan malah mereka berhak dibantu dengan cara yang lebih hormat,” ujar Zed Zaidi lagi.

SKIP THIS AD ×