Beberapa hari ini, kecoh di media sosial dan di dada-dada akhbar mengenai pengumuman yang dibuat Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berhubung dengan sesi pandu uji kereta terbang pertama Malaysia yang dijadualkan bakal berlangsung pada 21 November 2019 iaitu pada hari ini. Pengumuman tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat Malaysia sendiri yang rata-ratanya tidak sabar untuk melihat kecanggihan kereta terbang tersebut. Malah, tidak kurang juga mereka yang menyindir dan mempersoalkan kebolehan kenderaan itu.
Terbaru, sesi pandu uji kereta terbang atau Dron model UAS E-Hang 216 (EH216) yang sepatutnya berlangsung pada hari ini dikatakan tidak boleh dilakukan kerana tidak mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Lokasi tidak strategik
Menerusi laporan Berita Harian, dalam kenyataan CAAM memberitahu ujian penerbangan itu tidak dapat dilakukan kerana lokasi yang dijadualkan di UNIKL MIAT Hangar Subang adalah kurang 200 meter dari laluan trafik pesawat dan helikopter komersial.
Tambahnya lagi, lokasi tersebut berada di dalam Zon Kawalan Terminal Lapangan Terbang Subang dimana ianya dikawal ketat oleh Pusat Kawalan Trafik Udara.
Di samping itu, EH216 hanya mengeluarkan Permit Penerbangan Khas (SFP) oleh Pentadbiran Penerbangan Awam China yang terhad kepada menjalankan penerbangan penyelidikan dan pembangunan di Grand World Science Park, Guangzhou.
CAAM juga ingin menyatakan bahawa kami terbuka untuk mempertimbangkan permintaan untuk penerbangan ujian EH216 di lokasi yang sesuai.
Demonstrasi ‘haram’ membabitkan EH216
Dalam pada itu, CAAM juga memaklumkan bahawa pihak mereka akan menjalankan siasatan berhubung dengan demonstrasi penerbangan yang membabitkan EH216 yang pernah dilakukan tanpa mendapat kebenaran daripada pihak mereka.
CAAM juga menjalankan penyiasatan terhadap pihak yang menjalankan penerbangan demonstrasi tidak sah yang membabitkan EH216 pada 15 November lalu di kawasan sama dalam Lapangan Terbang Subang.
Tambahnya lagi, pihak CAAM amat menyokong pembangunan industri aeroangkasa di Malaysia namun segala ujian atau demonstrasi penerbangan perlu mendapat kebenaran serta mengikut Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 (MCAR 2016). Perkara ini bagi memastikan kelangsungan ujian penerbangan dan menjamin keselamatan bersama.
Sumber: Berita Harian, Sinar Harian