Beberapa tahun yang lalu, tularnya kes pembunuhan seorang ketua jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, yang disyaki dibunuh dengan kejam oleh seorang lelaki warganegara Nigeria yang dikenali sebagai Alowonle Oluwajuwon Gilbert.
Artikel Berkaitan: Ditemui Reput, Ada Kesan Kelar Dileher, Motif Pembunuhan Jururawat Ini Kekal Misteri
Terlepas tali gantung
Terbaharu, Alowonle disahkan terlepas tali gantung setelah Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati kepada hukuman penjara selama 35 tahun.
Memetik laporan Harian Metro, panel hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah turut memerintahkan suspek dikenakan 12 sebatan.
Keputusan itu dibuat susulan pindaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu pemansuhan hukuman mati mandatori.
Kami mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan penjara 35 tahun dari tarikh tangkap dan dia juga akan dikenakan 12 sebatan.
Vazeer telah menolak rayuan Alowonle terhadap sabitan membunuh selepas memutuskan bahawa sabitannya membunuh Siti Kharina selamat untuk dikekalkan.
Menurut Vazeer, tiada keperluan bagi pihak mahkamah untuk mempertimbangkan sama ada pembelaan berkanun lain digunakan untuk Alowonle kerana hakim perbicaraan telah menolak pembelaan alibinya.
Bukan itu sahaja, Mahkamah Rayuan juga tidak menemui sebarang pembelaan berkanun yang boleh dikenakan terhadap Alowonle.
Tertuduh yang berusia 40 tahun itu diperintahkan untuk memulakan hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 16 Mei 2019.
Tertuduh & mangsa adalah kekasih
Terdahulu, dalam prosiding yang dilakukan pada Selasa, peguam yang mewakili Alowonle, Afifuddin Ahmad Hafifi memaklumkan bahawa tertuduh dan arwah adalah pasangan kekasih.
Menurut Afifuddin, tiada bukti mengatakan pembunuhan itu telah dirancang terlebih dahulu memandangkan darah Alowonle ditemui pada pakaian mangsa serta di tempat kejadian.
Afifuddin juga tidak menolak kemungkinan bahawa pergaduhan tersebut mungkin berlaku secara tiba-tiba sehingga tercetusnya pergelutan antara anak guamnya dan si mati.
Sekadar info, misteri kehilangan Siti Kharina terjawab apabila mayatnya ditemui di sebuah kondominium sewa yang terletak Cyberjaya pada 15 Mei 2019.
Penemuan mayat Siti Kharina itu mula terbongkar selepas orang awam melihat darah mengalir keluar dari salah satu pintu kediaman terbabit.
Sehinggalah pada 4 Ogos 2021, Mahkamah Tinggi di Shah Alam mendapati Gilbert bersalah kerana membunuh Siti Kharina dan telah dijatuhkan hukuman mati mandatori.
Sumber: Harian Metro