Hati ibu mana yang tidak sedih tatkala meilhat anak yang dikandung selama 9 bulan terpaksa menanggung kesakitan pada usianya yang masih kecil. Pelbagai emosi yang dialami oleh si ibu apabila mengenangkan nasib anak kecilnya itu.
Inilah perasaan yang ditanggung oleh Sallinah Salamun apabila mengetahui bayinya yang baru berusia lima bulan itu menghidap kanser mata kanak-kanak (bilateral retinoblastoma). Apa yang lebih menyedihkan apabila mata bayi itu terdapat ketumbuhan.
Kanser mata di kedua-dua belah matanya
https://www.facebook.com/sitisallinah.salamun/videos/3215883468451759/
Sukar untuk diluahkan kepada semua akan berita yang mengejutkan ini. Tetapi kami mengambil keputusan untuk berkongsi dengan semua agar kesedihan ini dirasai bersama. Puteri kami, Sayyidah Zahrah yang berusia 5 bulan baru sahaja disahkan menghidap kanser mata kanak-kanak (bilateral retinoblastoma) di kedua-dua belah matanya.
Perkara ini disedari secara tidak langsung apabila kami membawa Zara untuk dikhatankan di sebuah klinik swasta. Doktor klinik berkenaan telah menegur akan keadaan mata Zara yang tidak memandang tepat apabila menoleh ke arah orang yang memanggilnya dan meminta kami merujuk ke klinik kesihatan berhampiran.
Untuk yang bertanyakan tentang check up bulanan, Zara tidak pernah missed appointment dan menerima suntikan vaksin di klinik desa yang diberikan oleh jururawat masyarakat tanpa pemeriksaan lanjut oleh doktor. Hal ini kerana Zara tiada tanda-tanda bermasalah. Berat dan tinggi naik cantik walaupun hanya minum susu ibu sepenuhnya.
Mata bergerak berulang-ulang
Semasa di Klinik Kesihatan Kuala Selangor, doktor mengesyaki Zara menghadapi masalah horizontal nystagmus iaitu masalah mata yang bergerak berulang-ulang ke kiri ke kanan dan kes ini dirujuk ke Hospital Sungai Buloh.
Ketika ini kami masih beranggapan masalah Zara tidaklah terlalu serius. Mungkin hanya otot mata lemah yang boleh dilatih dan akan semakin kuat seiring dengan peningkatan usianya.
Pemeriksaan fizikal dilakukan di Hospital Sungai Buloh. Doktor juga bertanyakan mengenai sejarah keluarga. Kedua-dua belah ibu dan abah Zara memang tidak pernah mempunyai sejarah pesakit kanser. Kun fayakun. Apabila Allah berkehendak dan telah menetapkan sesuatu, maka terjadilah ia. Subhanallah.
Terdapat ketumbuhan pada mata Zara
Doktor telah mengesahkan terdapat ketumbuhan dalam mata Zara dan CT scan akan dilakukan untuk mengenal pasti saiz ketumbuhan. Gugur air mata ibu mendengar kata-kata doktor bahawa sel kanser terdapat bukan hanya pada 1 biji mata tetapi kedua-duanya.
Malahan, di 1 biji mata pun sudah terdapat 2 hingga 3 ketulan ketumbuhan. Ibu masih in denial dan berharap keputusan CT scan akan menunjukkan tanda-tanda positif. Malangnya, keputusan CT scan masih sama dan kes Zara dirujuk ke pakar mata di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur.
Doktor ada juga memaklumkan simptom lain penyakit ini adalah cat’s eyes reflect. Sungguh kami terkilan kerana pernah juga kami menyedari simptom ini ketika Zara berusia hampir 2 bulan tapi tak mengambil serius kerana ‘mata kucing’ itu jarang-jarang kelihatan. Maafkan ibu abah yang jahil ni ye, Zara.
Sel-sel kanser merebak
Semasa di Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Kuala Lumpur (WCH KL), hasil pemeriksaan awal, pakar mengatakan mata kanan Zara sudah berada anggaran di peringkat keempat atau kelima kerana ketumbuhan sudah memenuhi lebih 50% bebola matanya.
Manakala mata kiri pula sudah berada anggaran di peringkat ketiga. Airmata kami gugur lagi. Sel-sel kanser merebak dengan pantas, sepantas perkembangan Zara sebagai seorang bayi.
Rawatan perlu diusahakan secepat mungkin untuk menyelamatkan penglihatannya. Kami sangat mengharapkan doa dari kalian agar urusan kami dipermudahkan dan Zara akan sembuh sepenuhnya.
20 oktober 2019, Zara akan dimasukkan ke wad 17, Tingkat 4 HKL untuk pemeriksaan lanjut. Masih banyak lagi yang belum Zara terokai warna-warni dunia ni, sayang.
Sumber: Sallinah Salamun