Enggan memanjangkan isu, penyanyi Khai Bahar memilih untuk memaafkan individu yang bertindak memfitnah dirinya berseronok dengan rakan sejenis di Pulau Langkawi, Kedah ketika arwah ibunya, Rosnah Muhamaad sedang sakit.
Artikel Berkaitan: Khai Bahar Jawab Tuduhan Ketika Bercuti Di Pulau Langkawi – ‘Dosa Aku Dengan Allah Aku Tanggung’
Artikel Berkaitan: ‘Dunia Gelap Gelita Seolah Macam Sedang Bermimpi’ – Khai Bahar Reda Pemergian Ibu, Syukur Sempat Beri Kebahagiaan
‘Cakap kena ada bukti’
Ketika ditemui OhBulan!, Khai atau nama lengkapnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata, dia menganggap tuduhan yang dilemparkan kepadanya itu sebagai bentuk teguran untuknya memperbaiki diri.
Saya maafkan orang yang buat cerita itu. Kalau betul saya iyakan. Saya keluar dengan kawan dan orang terdekat. Saya berkawan dengan semua orang dan saya tak memilih.
Tapi, bila ada yang pertikaikan dan cakap saya keluar bercuti dengan orang sedemikian, kenapa tak muat naik gambar sekali?
Ada juga yang cakap itu teguran untuk saya sebab mak tengah sakit, tapi saya di langkawi. Saya pun tak jangka perkara ini dan begitu juga adik-beradik lain. Kami tak sempat hendak tengok mak buat kali terakhir.
Jadi dengan perkara ini mungkin saya dapat perbaiki salah silap, walaupun tak tahu apa sebenarnya yang individu berkenaan mahukan.
Khai berkata demikikan ketika ditemui pada sidang media pengumuman Top 5 Gempak Most Wanted Awards 2023 (GMWA 2023) yang diadakan di Dadi Cinema Pavilion, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Dalam pada itu, pelantun lagu Bayang itu menyifatkan tuduhan tersebut tidak berasas kerana tiada bukti yang kukuh. Malah, Khai menegaskan dia bercuti bersama rakan baiknya yang sudah berkenalan sejak dahulu lagi.
Perkara ini mudah sahaja, saya bercuti di Langkawi dengan empat kawan baik yang memang kami sudah kenal dari dulu. Mereka juga kawan saya di kampung, kalau pergi mana-mana memang dengan mereka.
Tapi bila individu ini cakap perkara tak betul, disebabkan itu saya marah. Kalau hendak cakap kena ada bukti. Apa yang membuatkan saya hilang sabar kerana ia membabitkan arwah mak saya.
Saya tak ambil tindakan undang-undang, cukuplah dengan perkara sebegini. Cukuplah saya maafkan dan bersuara, cukup setakat itu sahaja.
Sebelum ini, Khai meluahkan rasa marah apabila seorang individu mendakwa dia pergi bercuti bersama beberapa rakan lelakinya yang didakwa songsang.
Selain itu, individu terbabit menasihati Khai agar tidak lagi bergaul dengan mereka kerana arwah ibunya mahukan dia memilih jalan terbaik dalam hidup.
Berang dengan tuduhan tersebut, Khai meminta individu berkenaan berhenti mencari kesilapan dirinya dan menyebarkan fitnah yang tidak benar.
Terdahulu, ibu Khai disahkan meninggal dunia dalam tidur pada usia 62 tahun di Kangar, Perlis pada jam 10.40 malam.