Dua hari lepas industri hiburan tanah air heboh dengan isu tersebarnya filem KL Gangster 2 di laman internet sehingga menyebabkan pengarahnya, Syamsul Yusof merasa kecewa dan tertekan dengan insiden tidak bertanggungjawab itu.
Artikel Berkaitan :
Susulan daripada insiden tersebut, pihak Skop Productions dan Grand Brilliance Sdn Bhd telah mengadakan sebuah sidang media tergempar bertempat di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), petang semalam.
Menurut Datuk Yusof Haslam, pihaknya sudah mendapat beberapa petunjuk mengenai isu penyebaran awal filem KL Gangster 2 dan buat masa ini, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan untuk mencari bukti-bukti kukuh sebelum mendakwa mereka yang tidak bertanggungjawab itu ke muka pengadilan.
Nak mengesyaki memang kita boleh syak sesiapa sahaja. Tapi saya tak boleh umumkan dekat sini siapakah orang itu, sebab kes masih lagi dalam siasatan. Jadi biarlah pihak berkuasa yang jalankan siasatan terlebih dahulu.
Tapi sejak tersebarnya berita ini, kita dah dapat beberapa clue dan sekarang kita nak cari siapa dalang sebenar disebalik semua ini.
Saya syak benda ini memang dah dirancang daripada awal sebab itu mereka berani tayangkan filem tersebut sebulan lebih awal daripada tarikh sebenar tayangan.
Datuk Yusof anggap isu cetak rompak sebagai perbuatan kejam & keji
Mengulas lebih lanjut mengenai penyebaran tidak berlesen itu, Datuk Yusof turut melahirkan rasa kecewa kerana ini merupakan kali pertama filem tempatan mampu dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan menganggap isu cetak rompak ini sebagai satu perbuatan yang sangat keji.
Saya paling sensatif apabila orang usik filem saya dan Syamsul merupakan individu yang paling kecewa.
Bermula awal tahun 2011 anak saya bermati-matian untuk filem ini sehingga pernah berlaku konflik antara kami. Tapi bila tengok hasilnya yang sangat bagus saya gembira.
Mungkin disebabkan sambutan penonton yang dilihat agak memberangsangkan dan tayangan trailernya di YouTube juga berjaya mencapai lebih 1 juta penonton, ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah sabotaj filem ini.
Saya anggap ini perbuatan yang sungguh kejam dan sabotaj yang amat menjijikkan.
Datuk Yusof ingin saman berjuta-juta ringgit
Selain itu, penerbit dan pengarah terkenal ini turut menegaskan bahawa beliau tidak akan memandang remeh isu tersebut dan akan mengambil tindakan tegas dengan menyaman pihak tidak bertanggungjawab itu jutaan ringgit.
Apa yang berlaku ini adalah satu ujian untuk Skop Productions dan perjuangan ini tidak akan berhenti setakat ini sahaja. Kami juga tidak akan berdiam diri begitu sahaja.
Kalau kita memandang remeh perkara macam ini, industri perfileman negara tidak akan ke mana. Saya akan saman berjuta-juta ringgit. Setakat masuk mahkamah dan denda cuma seribu ringgit sahaja tak berbalaoi sebab kami dah laburkan banyak wang untuk hasilkan filem ini. Jadi, saya tidak akan berkompromi dengan benda-benda macam ini.
Bercerita mengenai siaran filem yang tersebar di laman internet beberapa hari lalu, Datuk Yusof memaklumkan bahawa, tayangan tersebut hanya merupakan filem awal yang belum disunting oleh Syamsul dan kualiti tayangan serta gambarnya juga sekadar 50% sahaja.
Oleh itu, penerbit terkenal tersebut mengalu-alukan peminat filem tempatan untuk datang menyokong filem KL Gangster 2 itu di pawagam pada 3 Oktober depan bagi merasaikan pengalaman yang lebih memuaskan.