berita

KKM Dedah 1,771 Petugas Kesihatan Positif Covid-19, Paling Tinggi Semasa Gelombang Ketiga

December 19th, 2020 | by Amat
Kini Trending

Ketua Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi laman Facebook memaklumkan jangkitan positif Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan yang telah berjuang untuk memutusan rantaian virus itu. Terdapat sebanyak 1,771 kes positif dalam kalangan petugas kesihatan yang sah dijangkiti penyakit itu sepanjang mereka melaksanakan tanggungjawab.

Tambah Dr Hisham, menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP sepertimana ditetapkan sebelum ini dan menghadkan lawatan orang ramai ke hospital yang berisiko tinggi dijangkiti virus berkenaan.

Gelombang ketiga pandemik

Sumber foto: BERNAMA

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa sehingga 18 Disember 2020, secara kumulatif terdapat 1,771 kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan. Sebanyak 1,359 (76.7 peratus) kes-kes tersebut berlaku semasa gelombang ketiga pandemik COVID-19, termasuk 43 kes baharu yang dilaporkan pada hari ini.

Berikut adalah lima kumpulan petugas kesihatan yang melaporkan kes jangkitan COVID-19 tertinggi sejak bermulanya pandemik COVID-19 di negara kita. Jururawat 690 kes, Pegawai Perubatan 211 kes, Pembantu Perawatan Kesihatan 146 kes, Pembantu Pegawai Perubatan 144 kes dan Pegawai Perubatan Siswazah sebanyak 84 kes.

Berdasarkan siasatan yang telah dilakukan sebanyak 587 (33.1%) petugas mendapat jangkitan dari komuniti, 565 (31.9%) berlaku di antara petugas-petugas kesihatan, 152 (8.6%) jangkitan berkaitan dengan pesakit-pesakit yang masih belum disahkan mendapat jangkitan COVID-19, sebanyak 58 (3.3%) tidak diketahui punca dan 409 (23.1%) lagi punca jangkitan masih dalam siasatan.

Peningkatan kes mendadak

Sumber foto: The Star

Pada 18 Disember 2020, seramai 280 petugas sedang menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil dengan kadar sembuh sebanyak 84.2%. Manakala seramai 1,697 petugas kesihatan di seluruh negara sedang menjalani Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (Home Surveillance Order – HSO) sama ada di tempat kediaman atau di stesen kuarantin.

Hospital-hospital di Lembah Klang yang melaporkan kes jangkitan COVID-19 tertinggi adalah daripada Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang (54 kes), Hospital Serdang (29 kes), Hospital Sungai Buloh (15 kes), Hospital Kuala Lumpur (10 kes), Hospital Ampang (5 kes) dan Hospital Selayang (4 kes).

Peningkatan kes yang mendadak dalam kalangan petugas kesihatan di negeri-negeri Lembah Klang adalah dipercayai berkait rapat dengan peningkatan kes dalam kalangan komuniti. Situasi seumpama ini, iaitu peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan pernah dialami oleh negeri Sabah ketika peningkatan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti berlaku di sana. Walau bagaimanapun, kes-kes di kesemua hospital yang terlibat masih dalam keadaan terkawal dan perkhidmatan kesihatan masih lagi diteruskan.

Patuh kepada SOP

KKM ingin menegaskan kepada semua petugas kesihatan sektor Kerajaan mahu pun swasta agar sentiasa patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan. Pematuhan kepada SOP ini perlulah sentiasa diamalkan sama ada di tempat kerja dan juga di tempat-tempat lain. Kepatuhan ini adalah sangat penting diamalkan khususnya bagi para petugas kesihatan yang berkhidmat di zon-zon merah, di mana kebarangkalian untuk mendapat jangkitan daripada komuniti adalah tinggi. Pemantauan amalan norma baharu secara berkala serta penguatkuasaan di setiap fasiliti kesihatan akan meningkatkan lagi kepatuhan di kalangan petugas kesihatan.

Hadkan lawatan ke hospital

Selain itu, orang awam juga dinasihatkan untuk menghadkan lawatan ke hospital-hospital. Ini bukan sahaja dapat memberi ruang kepada petugas kesihatan untuk menjalankan tugas mereka, malah dapat melindungi golongan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan para pesakit kronik lain daripada jangkitan COVID-19.

KKM sangat prihatin terhadap peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan ini dan akan sentiasa memantau perkembangan jangkitan kes COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan dari semasa ke semasa. KKM juga ingin menasihatkan orang ramai tidak perlu bimbang untuk mendapatkan rawatan dan perkhidmatan kesihatan di fasiliti-fasiliti kesihatan kerana situasi ini adalah dalam keadaan yang terkawal. Teruskan amalan norma baharu bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti daripada jangkitan COVID-19.

Sumber: Dr Noor Hisham

SKIP THIS AD ×