berita

KKM Terus Kesan Kontak Rapat Kluster Sentosa Kuching, Elak Peningkatan Kes Covid Di Negeri Itu

July 28th, 2020 | by AnisAffandi
Kini Trending

Bagi mengelakkan peningkatan kes virus Covid-19 di Sarawak, Kementerian Kesihatan (KKM) terus mengesan kes aktif dan kontak rapat yang melibatkan kluster Sentosa di Kuching.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, sehingga semalam KKM telah mengesan 680 individu yang merupakan kontak dalam kluster dan dari situ 21 kes positif, 587 kes negatif dan 72 masih menunggu keputusan ujian.

Ingin tahu pelan KKM

Daripada 21 kes (positif) itu, 16 kes merupakan dalam kalangan anggota KKM, dua anggota perkhidmatan sokongan daripada syarikat yang mengurus kemudahan di hospital itu, satu pesakit dan dua lagi kontak rapat atau ahli keluarga kepada kes positif

Memetik laporan Bernama, bagi menjawab persoalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) berkenaan pelan KKM dalam menangani isu peningkatan kes di Kuching yang melibatkan kakitangan hospital kerajaan dan barisan hadapan, Dr Adham berkata setiap golongan itu iaitu pesakit dan petugas Hospital Sentosa yang positif Covid-19 diasing dan dirawat di Hospital Umum Sarawak.

Selain itu, KKM juga turut menjalankan ujian saringan mental kepada semua pesakit Covid-19 serta ahli keluarga mereka dan KKM juga memberikan penekanan penuh terhadap aktiviti pencegahan dan pengurusan jangkitan pandemik itu.

Jalankan pendekatan bersasar

KKM Putrajaya juga memobilisasikan pasukan bantuan penasihat teknikal ke Sarawak untuk meninjau dan membantu memberikan pandangan mengenai penularan serta pengurusan jangkitan COVID-19 di sana

Bagi menggantikan petugas-petugas yang terjejas dengan virus ini, KKM membuat mobilisasi pegawai dari seluruh negeri Sarawak. Dr Adham memaklumkan juga KKM telah menjalankan pendekatan bersasar untuk mengesan kes aktif termasuk di pasar dan premis yang berdekatan dengan Hospital Sentosa.

Sementara itu, bagi menjawab soalan dari Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) berkaitan klinik kesihatan yang akan dibina, Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata projek pembinaan akan ditender semula selepas ia gagal mendapat persetujuan kontraktor dan harap ia dapat diteruskan demi memastikan rakyat di kawasan tersebut dapat menikmati kemudahan kesihatan terbaik.

Sumber : Bernama

SKIP THIS AD ×