berita

Konsert Dibatalkan Kerana Penggunaan Bahan Terlarang, Salah Pengunjung Atau Penganjur?

March 17th, 2014 | by Ai
Isu & Kontroversi

Future Muzik

Kemuncak Future Music Festival Asia 2014 (FMFA 2014) yang sepatutnya berlangsung pada 15 Mac lepas berakhir dengan tragedi apabila pihak pengurusan terpaksa membatalkan hari ketiga konsert tersebut akibat dari insiden yang membabitkan kematian pengunjung.

Kematian enam pengunjung itu ternyata amat mengejutkan ramai pihak kerana ini merupakan pertama kali perkara seumpama ini menjadi perhatian dan menghiasi ruang-ruang akhbar tempatan.

Persoalannya, siapakah yang harus dipersalahkan apabila konsert yang berjaya menarik ribuan penonton dari seluruh pelosok negara itu terpaksa dibatalkan

Future Muzik

Selepas pengumuman pembatalan hari ketiga konsert tersebut, ramai pengunjung yang kecewa dan mengecam tindakan penganjur serta individu yang membawa barang terlarang masuk ke kawasan konsert.

Bagaimanapun, dalam kenyataan rasmi FMFA melalui laman sosial Facebook mereka semalam, mereka turut melahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan memberitahu bahawa kesemua aspek keselamatan sudahpun diambil.

Melalui kenyataan itu, pihak penganjur sudah menyediakan satu unit penilaian risiko keselamatan dan pengurusan seramai 280 kakitangan keselamatan termasuk 80 orang anggota RELA.

Tak cukup dengan itu, pihak polis juga turut bertugas didalam kawasan festival dan pihak penganjur telah mengambil beberapa langkah lain seperti menyediakan air percuma dan juga kemudahan perubatan.

Wajarkah kita hanya menuding jari kepada pihak penganjur yang sudah mengikuti aspek keselamatan yang disediakan atau menyalahkan penonton yang sibuk berpesta menggunakan cara yang salah?

FestivalAntara ribuan pengunjung yang datang ke FMFA dari setiap pelosok negara

Untuk pengetahuan, walaupun kawalan ketat sudah dibuat di pintu masuk, masih ada pihak yang berjaya meloloskan diri dan membawa masuk barang terlarang tersebut.

Perkara ini mengejutkan semua pihak hingga ramai yang mempersoalkan kemana hilangnya pertimbangan akal hingga menjerumus kearah penggunaan barang terlarang tersebut.

Namun, bak kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kesan daripada insiden ini, ia turut mencalarkan imej negara kerana festival ini turut mendapat sambutan dari peminat-peminat muzik seluruh dunia.

Sebagai pengunjung, tidak perlu kiranya kita terikut dengan budaya luar yang sememangnya mengamalkan pengambilan dadah dan alkohol kerana di luar negara, perkara tersebut sudah tidak asing bagi mereka.

Apa lagi yang ingin dikesalkan, nasi sudah menjadi bubur, kejadian sebegini sepatutnya menjadi iktibar kepada remaja lain supaya tidak mudah terpengaruh atau ingin ‘mencuba’ sesuatu yang akan mengundang padah.

Dek kerana insiden yang memeranjatkan itu, pihak penganjur akan memulangkan bayaran tiket bagi hari ketiga kepada pengunjung. Sebarang maklumat lanjut tentang pulangan bayaran boleh didapat melalui laman web www.futuremusicfestival.asia.

Foto: Facebook Festival Music Future Asia

SKIP THIS AD ×