berita

Konsert Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur Penuh Kejutan! Nyanyian Spontan Siti Nurhaliza, Hujan Duit & Jalur Gemilang Gergasi Antara Momen Menarik

September 9th, 2023 | by Shahrin
Kini Trending

Konsert Faizal Tahir

Kehadiran 3,000 penonton di Dewan Merdeka, World Trade Centres (PWTC) sudah cukup membuktikan keunggulan penyanyi berbakat besar iaitu Faizal Tahir dalam konsert sulungnya berjudul Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan: ‘Kehidupan Saya Berubah 360 Darjah’ – Faizal Tahir Lebihkan Keluarga, Besarkan Anak Istimewa

Artikel Berkaitan: Faizal Tahir Terkejut Harga Tiket Konsert Sendiri Mahal – ‘Bukan Kuasa Saya’

Momen menarik konsert Faizal Tahir

Konsert Faizal Tahir

Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Muhammad Tahir, 44, berjaya memukau seisi dewan menerusi rangkaian lagu-lagu popular miliknya dengan cukup cemerlang dalam konsert yang dibawakan oleh JioBuddy itu.

17 tahun menyimpan hasrat untuk mengadakan konsert akhirnya tercapai sekali gus membuktikkan Faizal berada pada kelas tersendiri.

Jom OhBulan! kongsikan antara momen-momen menarik sepanjang konsert Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur.

#1 Mahakarya Cinta imbau kenangan

Konsert Faizal Tahir

Faizal membuka pentas konsert dengan lagu yang berjaya menaikkan namanya dalam industri tanah air iaitu Mahakarya Cinta. Ketika lirik pertama lagu tersebut dinyanyikan, penonton seakan diserang histeria dan menjerit kegembiraan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan lagu tersebut seperti karya agung dan identiti Faizal yang membuatkan peminat mula mengenalinya. Terubat rindu untuk menyaksikan Mahakarya Cinta dinyanyikan secara live!

#2 Segmen ikut perjalanan kerjaya seni

Kredit harus diberikan kepada Faizal dan pasukan produksi apabila mereka bijak untuk membahagikan konsert kepada beberapa segmen mengikut perjalanan kerjaya seni Faizal sepanjang bergelar penyanyi.

Di awal konsert, Faizal banyak melantunkan lagu-lagu popular di awal kemunculannya seperti Hanyut, Cuba, Sampai Syurga dan beberapa lagi.

Manakala, di pertengahan dan hujung konsert, Faizal banyak menyanyikan lagu terkininya seperti Ragaman, Sejati, Santai dan beberapa lain lagi. Turut tidak ketinggalan lagu berentak Islamik berjudul Adam dan Shahadah.

#3 Lagu Merdeka versi dikir barat

Konsert Faizal Tahir

Luar daripada kotak! Itulah perkataan yang boleh digambarkan ketika lagu Negaraku disampaikan namun dalam versi dikir barat. Bertambah menarik lagi apabila pelakon yang cukup sinonim dengan persembahan dikir bakar iaitu Sabri Yunus turut tampil membuat kejutan.

#4 Siti Nurhaliza & Alif Satar

Paling tidak disangkakan apabila Faizal turut mengundang penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza yang hadir pada konsert berkenaan untuk naik ke atas pentas.

Ternyata Siti begitu sporting ketika namanya diseru dan menyambut baik permintaan Faizal untuk mereka sama-sama menyanyikan lagu duet popularnya berjudul Dirgahayu Cinta secara akustik.

Selain Siti, nama penyanyi Alif Satar juga tidak terlepas diseru oleh penonton untuk naik ke pentas. Alif yang tidak mahu mengecewakan penonton lantas menyahut seruan tersebut dan kemudian menyanyikan lagu Gemuruh bersama Faizal. Memang menghiburkan momen itu.

Konsert Faizal Tahir

#5 Jalur Gemilang gergasi

Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 baru-baru ini, Faizal turut tidak melepaskan peluang untuk merakam momen indah dengan mencipta Jalur Gemilang gergasi pada malam tersebut.

Setiap penonton diminta memegang keratan kertas yang mana bila digabungkan menjadi bendera Jalur Gemilang bersaiz besar. Momen tersebut telah mengundang rasa terharu serta bangga terutama dalam kalangan rakyat Malaysia.

#6 Hujan duit

Ketika Faizal menyampaikan lagu terbaharunya berjudul OK, penonton di dalam dewan sekelip mata bertukar menjadi ‘orang kaya’ apabila taburan duit kertas palsu jatuh dari atas siling dewan. Bertambah melucukan lagi, adalah gelagat penonton yang masing-masing berebut untuk mengutip wang tersebut. Memang comel betul.

Konsert Faizal Tahir

#7 Niat untuk berhenti menyanyi

Selain persembahan menghiburkan, Faizal sempat berkongsi kisahnya yang ingin berhenti daripada bidang nyanyian sekitar tahun 2018 susulan pemergian dua sahabat baiknya.

Bagaimanapun niat tersebut terbatal apabila dia muhasabah diri dan berfikir kembali bakat yang dikurniakan kepadanya adalah sebagai tanggungjawab untuk menghiburkan orang ramai.

#8 Tak boleh nyanyi depan keluarga

Selain rakan artis, turut hadir menyaksikan malam penuh bersejarah buat Faizal adalah ahli keluarganya. Bagaimanapun Faizal berkata suatu ketika dulu dia berasa segan untuk menyanyi di hadapan ahli keluarga terutama bapanya.

Konsert Faizal Tahir

#9 Bukan konsert terakhir

Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur merupakan konsert sulung Faizal selepas 17 tahun bergelar anak seni. Jelas Faizal, itu pun selepas beberapa kali dipujuk oleh pengarah muzik, Jennifer Thompson.

Usai konsert melabuhkan tirai, Faizal berkata perasaan puas dan gembira yang dirasai membuatkan dia terfikir untuk mengadakan konsert lagi selepas ini. Tambah Faizal, dengan persediaan yang cukup, dia yakin dirinya mampu memberi persembahan yang terbaik kepada penonton.

SKIP THIS AD ×