Penyanyi dan maestro muzik, Datuk M. Nasir bukan sahaja membuat kejutan menyanyikan lagu raya sebagai penutup Konsert M N45IR Cipta 2 tetapi turut mencuri perhatian ‘memberikan’ duit raya kepada penonton yang hadir.
Artikel Berkaitan: Merinding! Konsert Gendang Pati Sifu M. Nasir Buat Penonton Bagai ‘Dirasuk’ Roh Nusantara
Beri 10k ‘duit raya’
Ketika persembahan penutup sedang berlangsung, panganjur konsert berkenaan iaitu Icon Entertainment telah menerbangkan 10,000 sampul duit raya yang berisi duit RM1 dari bumbung stadium Axiata Arena.
Menurut Iman Tang selaku pengajur, duit tersebut diterbangkan sebagai simbolik kepada hari raya dan dalam masa yang sama ingin menyampaikan mesej betapa besarnya nilai RM1 pada 45 tahun yang lalu.
Kita sediakan dalam 10 ribu sampul duit raya di mana setiap daripadanya diisi dengan duit kertas baru bernilai seringgit.
Lagu hit Suatu Hari di Hari Raya itu sudah seperti lagu kebangsaan yang saya fikir perlu dibawakan walaupun kita bukan berada di bulan Syawal.
Ada nota juga di sampul itu duit mengingatkan duit seringgit yang diberikan besar nilainya pada 45 tahun yang lalu.
Iman Tang berkongsi perkara tersebut ketika sesi sidang media sejurus selepas selesainya konsert Cipta 2 yang bertempat di Axiata Arena pada Sabtu.
Idea disambut baik M. Nasir
Sementara itu, M. Nasir mengakui dirinya menyambut baik idea yang diberikan pihak penganjur dan merasakan idea tersebut adalah peluang untuknya berkongsi rezeki bersama penonton yang hadir.
Selalunya benda seperti ini saya anggap kelakar sahaja.
Tapi di sebalik kelakar, ada makna yang mendalam dari segi persembahan.
Ia juga menunjukkan sikap pemurah dan nilai kemanusiaan yang ada dalam diri penganjur walaupun seringgit.
Ditanya mengenai pemilihan lagu ‘Satu Hari Di Hari Raya’ sebagai penutup, M. Nasir berkata lagu tersebut adalah dedikasi buat mereka yang sedang berada di negara bergolak.
Sebenarnya saya mahu relevankan lagu itu dalam konsert yang bukan hari raya.
Istilah ‘Hari Raya’ selalu kita guna untuk menggambarkan kegembiraan dan kemenangan.
Saya mahu nyanyikan lagu itu kepada mereka yang terkesan peperangan dan penindasan.
Di malam konsert tersebut, M. Nasir telah menyanyikan 32 buah lagu popular yang dihasilkannya dari pelbagai genre muzik di hadapan 8,000 orang.
Konsert tersebut turut dihadiri beberapa selebriti tempatan yang lain termasuklah kumpulan Wings, kumpulan Spider, Lah Ahmad, Dato Fauziah Nawi, Farah Ahmad, Azhan Rani, Akim Ahmad, Stacy dan ramai lagi.