Konsert P. Ramlee Signature A Minor 7 merupakan satu usaha yang dijayakan oleh PH7 Production Management Sdn. Bhd bagi memperingati ulang tahun ke-50 pemergian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee iaitu seorang seniman yang paling disayangi dan berpengaruh di Malaysia.
Buat julung kalinya, PH7 Production Sdn. Bhd menerbitkan sebuah konsert yang dinanti-nantikan oleh peminat seniman agung yang mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik – myCreative Ventures serta rakan-rakan penaja seperti PJ Performing Arts Centre (PJPAC), Cantuman Wawasan an Bon Fashion Legacy Sdn. Bhd.
Penerus legasi karya Tan Sri P. Ramlee
Konsert ini bakal berlangsung selama dua hari yang berdurasi selama 75 minit dengan menampilkan 12 lagu dari filem-filem lakonan dan arahan Tan Sri P. Ramlee. Difahamkan, lagu-lagu yang dipilih mengikut filem yang menerima anugerah tempatan mahu pun antarabangsa dari tahu 1953 hingga 1965, tempoh kemuncak karya Allahyarham di Singapura.
Para penonton yang hadir bakal ditampilkan dengan lagu-lagu yang dipimpin dan disusun oleh Maestro Aubrey Suwita dengan nuansa yang baharu tanpa menhilangkan keaslian jiwa karya Tan Sri P. Ramlee.
Konsert P. Ramlee Signature A Minor 7 ini diarahkan oleh Hariry Jalil iaitu Pemenang Pelakon Pembantu Telefilem Terbaik, Anugerah Telenovela 2023. Selain itu, lagu-lagu yang bakal dimainkan akan diendangkan oleh Sean Ghazali dan Liza Hanim serta diselitkan dengan persembahan monolog oleh Sobri Anuar.
Antara lagu yang bakal diendangkan adalah seperti ‘Ingin Tahu’, ‘Berkorban Apa Saja’, ‘Engkau Laksana Bulan’, ‘Malam Bulan Dipagar Bintang’, ‘Gelora’, dan ‘Madu Tiga’.
Konsert ini akan menjadi penerus legasi karya-karya Tan Sri P. Ramlee di samping menjadi inspirasi buat generasi baharu dalam berkarya terutama dalam kesenian muzik dan filem. Selain itu juga, konsert ini dapat menjadi sumber rujukan buat pelajar dan pengkaji dalam bidang muzik.
Menurut Aubrey Suwito, dia amat menghormati dan mengagumi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee kerana sumbangan dan pencapaian luar biasa yang dikecapinya. Tambahnya lagi, dia sering meluangkan masa dengan melihat filem-filem P. Ramlee.
Semasa remaja, saya meluangkan masa malam Jumaat selama bertahun-tahun dengan memasuki ke alam filem P. Ramlee yang indah.
Rangkaian muzik ciptaannya yang luar biasa memberi inspirasi dan impak yang besar terhadap muzik saya hari ini. Legasi P. Ramlee terus menjadi sumber inspirasi kepada ramai pihak dan sudah pasti ia meninggalkan kesan yang tidak akan dilupakan oleh persada muzik Malaysia.
Apabila menyentuh tentang konsert ini, Aubrey menyatakan bahawa dia cuba untuk membayangkan semula bagaimana muzik P. Ramlee akan berbunyi dalam konteks hari ini.
Walaupun menerima pendekatan muzik moden, instrumentasi dan bunyi, Aubrey cuba untuk membawa perspektif baharu kepada gubahan abadi beliau. Hal ini kerana untuk menghormati legasi P. Ramlee dengan menawarkan tafsiran kontemporari yang menawan buat penonton yang hadir.
Ikon hebat
Sokongan daripada Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik – myCreative Ventures yang diterima buat konsert ini dianggap satu galakan dari Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kepada penggiat seni persembahan dan muzik tanah air agar terus berkarya.
Menurut penerbit yang berpengalamn lebih 30 tahun dalam pengurusan seni persembahan baik tempatan mahupun antarabangsa, Patricia Gui dan Hamidon Ab. Hamid, P. Ramlee merupakan seorang ikon yang hebat dengan dedikasinya terhadap seni yang sungguh memukau. Walau tahun 2023 ini merupakan genap 50 tahun Allahyarham Tan Sri P. Ramlee meninggal dunia, namun, filem-filemnya sentiasa kekal di hati masyarakat kini.
Kami mengharapkan konsert ini akan memberi kesedaran kepada generasi muda tentang impak yang telah ditinggalkan oleh Tan Sri P. Ramlee buat negara.
Kami mengetengahkan lagu-lagu daripada filem yang pernah dimenangi di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Kami sangat gembira serta bertuah kerana Sean Ghazi dan Liza Hanim merupakan penyanyi yang hebat dan berbakat dengan susunan muzik hebat dari Maestro Aubrey Suwito.
Selain itu, kami tampilkan Sobri Anuar yang akan bercerita kepada penonton dalam bentuk monolog tentang bagaimana seorang seniman mendapatkan ilham untuk berkarya dan dia cuba untuk menyamai Tan Sri P. Ramlee.
Dalam pada itu, Patricia Gui dan Hamidon Ab. Hamid mengharapkan agar penonton datang dan menyokong konsert P. Ramlee Signature A Minor 7 ini. Katanya lagi, mereka amat berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui myCreative Ventures serta rakan-rakan penaja seperti PJ Performing Arts Centre (PJPAC), Cantuman Wawasan dan Bon Zainal di atas sokongan yang diberikan.
Konsert P. Ramlee Signature A Minor 7 ini bakal dilangsungkan di Stage 1, PJ Performing Arts Centre (PJPAC), 1Utama Shopping Centre, Petaling Jaya pada 7 dan 8 Julai ini. Konsert yang berdurasi selama 75 minit ini bakal berlangsung pada pukul 8:30 malam.
Kepada yang berminat untuk hadir boleh membuat pembelian tiket di www.onetix.com.my atau hubungi Ann Nurbaya di 019-330 8133 atau Wani di 013-628 7485 sekiranya membeli tiket secara pukal (10 tiket ke atas). Harga tiket bermula dari RM125 (atas), RM155 (biasa) dan RM205 (premium).
Ikuti perkembangan lanjut tentang konsert ini di laman rasmi Instagram dan Facebook Ph7 Production Management Sdn.Bhd.