Ini ada berita baik untuk semua peminat kumpulan lagenda rock Wings, di mana untuk makluman anda semua kumpulan ini bakal muncul dengan konsert terbaru mereka yang dikenali sebagai “Wings Rockestra'” yang bakal berlangsung di Istana Budaya April ini.
Menurut ketua Pengarah Istana Budaya, Dato’ Mohamed Juhari Shaari, pihaknya sekali lagi mengundang kumpulan Wings buat kali kedua kerana konsert Wings “Opera Hidup” dua tahun lalu mendapat sambutan hangat di kalangan peminat dan Wings juga merupakan kumpulan rock pertama yang membuat konsert di IB dengan iringan muzik orkestra.
“Wings dipilih sekali lagi pada tahun ini kerana kumpulan ini datang dengan pakej yang baru dan konsert ‘Opera Wings’ dua tahun lalu merupakan konsert yang paling berjaya mendaat kutipan tiket paling tinggi di Istana Budaya. Tambahan pula penonton yang datang adalah terdiri daripada golongan-golongan yang eksklusif.”
Dalam pada itu, vokalis kumpulan Wings, Awie turut melahirkan rasa gembira kerana kumpulan mereka sekali lagi mendapat tempat untuk membuat persembahan di Istana Budaya dan mengambil segala cabaran yang mendatang sebagai perkara yang positif.
“Untuk konsert ini kami bakal persembahkan 20 buah lagu dan kesemua lagu tersebut saya akan nyanyi sorang-sorang. Memang agak sukar dan mencabar juga untuk kami pilih lagu, akan tetapi kami akan menyanyikan lagu-lagu yang belum pernah dinyanyikan dikhalayak ramai.
“Lagipun cabaran untuk mendapatkan keserasian antara muzik orkestra dan rock adalah susah. Semua ini perlukan kerja yang banyak dan mencabar, tapi kami dapat rasakan kepuasannya.”
Berkongsi mengenai pengalaman konsert yang lalu, kumpulan Wings akui merasa kesian kepada peminat kerana mereka tidak boleh terlau ‘histeria’ sewaktu melayan konsert kumpulan lagenda rock ini.
“Oleh kerana konsert ini diadakan di Istana Budaya, jadi penonton-penonton tidak dibenarkan berdiri. Mereka kena layan lagu sambil duduk dan siapa yang berdiri akan disuluh dengan laser.
“Kadang-kadang kesian juga bila tengok ramai yang pegang kerusi dan tahan kaki mereka daripada berdiri, tapi nak buat macam mana memang Istana Budaya adalah tempat yang berprestij jadi kita kena hormat segala prosudernya.”
Bagi peminat-peminat Wings yang ingin menonton konsert “Orkestra Wings” pada 26, 27, 28 dan 30 April ini, jangan lupa untuk dapatkan tiket secara online di sekarang!
Tiket boleh didapati pada harga RM499 (Golden Seat), RM399 (Front Stall), RM299 (Middle Stall), RM249 (Grand Circle Centre), RM199 (Grand Centre L&R), RM149 (Grand To End), RM99 (Upper Circle/Centre), RM69 (Upper Circle).
Jom layan video konsert ‘Opera Hidup’ Wings selepas ini.