Apalah namanya Rock tanpa muzik bingit, betul tak? Seperti yang kita tahu, bunyi bingit ‘distortion’ dari gitar elektrik adalah satu kemestian dalam genre muzik rock.
Namun tidak dapat dinafikan bahawa ramai peminat sebenarnya menginginkan kumpulan-kumpulan rock mempersembahkan lagu mereka secara akustik.
Dan untuk itu, kumpulan rock terkenal yang mula ditubuhkan sejak tahun 80an, WINGS sekali lagi akan menguji tahap kreativiti mereka di dalam sebuah konsert istimewa yang diberi nama WINGS ‘Versi Tanpa Distortion’.
Meskipun pernah mengadakan persembahan secara unplugged di Istana Budaya tak lama dahulu, namun konsert berkonsepkan retrospektif akustika ini pertama kali diadakan oleh WINGS dalam skala yang besar.
Kami ingin pelbagaikan konsert kami dan tak mahu berikan persembahan yang sama saja sejak 30 tahun dulu. Peminat-peminat kami pun kalau dulu mereka bujang tapi sekarang ramai yang sudah berkeluarga. Jadi kali ini kami tampilkan persembahan yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Konsert kali ini lebih rileks dan tak bingit macam sebelum ini.
WINGS akan membawakan 18 buah lagu popular mereka termasuklah beberapa lagu rock popular di dalam rendisi mereka sendiri.
Kami bukan saja perdengarkan lagu-lagu daripada album kami tapi kami juga akan tribute lagu-lagu daripada kumpulan lagenda rock tanah air. Antaranya, seperti lagu Ibu (Blues Gang), Pada Syurga Di Wajahmu (Lefthanded) dan ada beberapa lagi dalam versi kami sendiri.
Konsert WINGS ‘Versi Tanpa Distortion’ akan berlangsung pada 8 Jun 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan bakal diiringi oleh pemuzik jemputan seperti Hillary Ang, Edrie Hashim, Ujang, Lee Sze Wan (pianist), Hamzah (pemain perkusi) dan Izzat Izzudin (penyanyi latar).
Tiket-tiket dijual bermula dari harga RM99, RM149, RM199, RM249 dan RM299. Ianya boleh didapati menerusi Ezitix atau dengan menghubungi talian 03-8887 6000.