Jika sebelum ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan pelawat dari wilayah Hubei dan Wuhan memasuki Malaysia bagi mencegah penularan wabak koronavirus.
Terbaru, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula memberitahu seramai 14 pengunjung dari wilayah tersebut dihantar pulang ke negara asal selepas dipercayai cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beberapa hari yang lalu.
Dihantar pulang ke China
Menerusi laporan Astro Awani, Muhyiddin memberitahu bahawa kesemua 14 orang tersebut dikesan dan dihalang oleh Jabatan Imigresen Malaysia pada hari Selasa yang lalu ketika cuba mendarat di KLIA. Tambahnya, kesemua mereka dihantar pulang ke China dan arahan Tidak Dibenarkan Mendarat (NTL) turut dikenakan.
Semalam pada mesyuarat jemaah menteri, saya ada menyebut mengenai tindakan-tindakan seterusnya yang diambil oleh Jabatan Imigresen Malaysia untuk mengikut arahan dengan tidak membenarkan pelawat-pelawat dari Wuhan dan Hubei masuk ke Malaysia. Semalam dilaporkan, pada 28 Januari, ada 14 warga China dari Wuhan mendarat di KLIA tetapi kita telah mengeluarkan arahan Not To Land (NTL) dan telah pun dihantar balik ke tempat asal mereka.
Dikenal pasti melalui semakan
Di samping itu, Menteri Dalam Negeri itu turut memberitahu bahawa pihak imigresen akan melakukan semakan pasport setiap pelancong yang tiba di lapangan terbang berkenaan. Melalui semakan tersebut, pihak imigresen dapat mengetahui maklumat sebenar mengenai negara asal pengunjung. Kesemua warga China yang dihantar semula itu dikenal pasti melalui hasil semakan pasport mereka.
Mereka dari Wuhan di (wilayah) Hubei. Apabila mereka mendarat, pasport mereka akan disemak oleh imigresen. Itu cara kita semak. Kita melihat asal mereka dari mana. Kalau dari Hubei, jadi mereka dihantar pulang kerana NTL. Ini adalah SOP yang sedia ada dan digunapakai untuk menentukan tiada pembolosan di sempadan kita yang kita wartakan
Sumber: Astro Awani