Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari ini mengesahkan tiga lagi pertambahan kes baharu yang dikesan positif wabak koronavirus di negara ini.
Menerusi laporan Astro Awani, ketiga-tiga individu yang didapati positif wabak itu adalah warganegara China.
Menjadikan jumlah 7 orang positif koronavirus
Pertambahan kes tersebut menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang dijangkiti wabak itu di negara ini adalah sebanyak 7 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes baru itu membabitkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang kini dirawat di wad pengasingan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dan seorang lelaki berusia 52 tahun yang dirawat di wad pengasingan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Manakala katanya, seorang lagi individu kini dirawat di Hospital Sungai Buloh dan dia adalah menantu perempuan kepada mangsa wabak koronavirus pertama di Singapura.
Beliau dahulunya berstatus negatif (koronavirus), mengambil keputusan untuk tinggal di Malaysia bagi menjaga kedua-dua anaknya yang sedang menerima rawatan di wad isolasi Hospital Sungai Buloh selepas mereka dikesan positif.
79 kes di bawah pemantauan
Noor Hisham berkata, tiga kes terbaharu tersebut adalah individu yang direkodkan dalam Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) jangkitan wabak koronavirus.
Jelasnya, setakat 10 Januari sehingga 28 Januari, jumlah kes pesakit di bawah pemantauan (PUI) jangkitan wabak itu di negara ini adalah seramai 78 orang.
Sumber: Astro Awani, Berita Harian