berita

‘Kuat & Perkasa Sehingga Tiada Siapa Boleh Kalahkan’ – Ini Kisah Kumpulan Al-Maunah 20 Tahun Lalu

September 7th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Baru-baru ini, dua orang banduan bersyukur dan gembira dapat pulang ke pangkuan keluarga selepas 20 tahun menjalani hukuman penjara. Kedua-dua merupakan bekas ahli kumpulan Al-Maunah yang dibebaskan awal dan mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong sempena Hari Kebangsaan ke-63.

Artikel berkaitan: ‘Tak Reti Guna Telefon, Bawa Motor’ – Banduan Kekok Tengok Dunia Selepas 20 Tahun Dipenjara

Untuk pengetahuan anda, pada pertengahan tahun 2000, masyarakat di Malaysia dikejutkan dengan kisah kewujudan kumpulan Al-Maunah. Mereka telah melakukan pencerobohan nekad ke atas sebuah kem Rejimen Askar Wataniah di Perak.

Apa tujuan Al-Maunah?

Foto: OrangPerak.com

Al-Maunah merupakan sebuah organisasi pengganas militan yang bertapak di Malaysia dan dikenali dengan kisahnya yang melakukan pencerobohan nekad ke atas sebuah kem Rejimen Askar Wataniah. Pada 2 Julai 2000, kumpulan ini telah berjaya melarikan sejumlah besar senjata api daripada stor menyimpan senjata dan berjaya memperdaya pegawai kem tersebut. Mereka juga telah membawa kesemua senjata yang dicuri itu ke sebuah pangkalan rahsia di kawasan hutan berhampiran perkampungan di Bukit Jenalik, Sauk, Perak.

Di samping itu, Al-Maunah turut dikenali sebagai Persaudaraan Ilmu Dalam Al-Maunah. Ia juga merupakan pertubuhan yang terlibat dalam ilmu persilatan dan mereka menggunakan tenaga dalaman untuk mempelajari ilmu rawatan tradisional. Pertubuhan ini dipercayai berpusat di Malaysia, Singapura, Brunei, Mesir dan Arab Saudi. Seramai 1000 ahli dipercayai menyertai pertubuhan ini.

Ketua militan seorang yang bijak

Foto: OrangPerak.com

Seramai 29 orang dipercayai terlibat dalam misi menggulingkan kerajaan Malaysia dan kesemua mereka dipimpin oleh Mohamed Amin Bin Mohamed Razali. Amin merupakan seorang yang bijak dan pandai menyakinkan ahli kumpulannya untuk menyertai misi tersebut. Dia juga mampu membuatkan pengikutnya menjadi kebal jika diserang.

Menerusi laporan Malaysiakini, ketua nombor dua Al-Ma’unah iaitu Zahit Muslim pernah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa ketuanya itu mempunyai kelebihan “ilmu silat fizikal-batin” dan kepakaran menyembuh dan menimbulkan penyakit dari jarak jauh. Tambahnya, Amin seorang lelaki yang kuat dan perkasa sehingga tiada siapa boleh mengalahkannya.

Jelasnya lagi, ketuanya itu boleh mengarahkan ahli kumpulannya berbuat sesuatu dari jarak jauh. Zahit yang mempunyai pengalaman selama 10 tahun dalam Pasukan Polis Perhutanan juga berkata ilmu control minda yang dimiliki membolehkan dirinya mengetahui perasaan atau niat orang lain. Antara kehebatan lain yang dimiliki oleh Amin menurut Zahit ialah dia mampu menjalankan pembedahan tanpa menggunakan pisau. Amin juga boleh membuat seseorang menjadi gila, keracunan macam santau, lumpuh dan banyak lagi.

Bukit Jenalik dikepung

Berbalik kepada peristiwa bersejarah di Bukit Jenalik, kumpulan tersebut telah memakai pakaian lengkap seperti pagawai kanan tentera dan berlagak melakukan pemeriksaan mengejut ketika melakukan pencerobohan ke atas Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah di Empangan Temenggor, Gerik, Perak. Kumpulan Al-Maunah ini juga telah membuat perancangan yang rapi ketika melakukan pencerobohan tersebut. Sebanyak 114 senjata api dan 18 ribu peluru telah dilarikan oleh mereka.

Manakala di Bukit Jenalik, mereka telah membina kubu dan melakukan latihan menembak. Bunyi tembakan yang jarang didengar oleh penduduk setempat akhirnya telah menarik perhatian pihak polis untuk melakukan siasatan. Pada masa itu, kumpulan tersebut sudah menyediakan bekalan makanan dan peralatan perlindungan untuk melindungi diri mereka.

Susulan daripada itu juga, seramai 300 orang tentera telah dihantar ke kawasan persembunyian kumpulan tersebut bagi mengepung dan menyekat pergerakan mereka. Manakala, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan untuk mengambil alih operasi tersebut dan menyelinap masuk ke kubu kumpulan Al-Maunah. Dua orang anggota polis pada ketika itu iaitu Sarjan Mohd Shah dan Koperal Detektif Sanghadevan dijadikan tebusan kumpulan tersebut. Selain mereka berdua, seorang Anggota Tentera Malaysia (ATM) dan seorang penduduk kampung turut menjadi tebusan.

Semasa kumpulan tersebut mendapat tawanan, mereka telah memberitahu pihak polis bahawa mereka akan menyerang Kuala Lumpur sekiranya tuntutan ke atas Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato Seri Dr Mahathir untuk meletakkan jawatan dalam masa 24 jam tidak dipenuhi.

Berjaya serah diri

Pada 5 Julai 2000, salah seorang anggota kumpulan Al-Maunah iaitu Abu Bakar Ismail telah ditembak oleh pasukan keselamatan. Geram akan kejadian tersebut, Amin dan ahli kumpulannya turut berbalas tembakan. Keesokan harinya, pihak polis telah mengambil beberapa pendekatan untuk menangkap kesemua ahli kumpulan berkenaan. Mereka telah menggunakan teknik psikologi dan beberapa aspek lain seperti keagamaan, emosi dan kekeluargaan untuk memujuk kumpulan berkenaan supaya menyerah diri.

Hasil pendekatan tersebut, 11 orang ahli kumpulan Al-Maunah telah menyerah diri. Bercerita mengenai Amin pula, dia sempat melepaskan beberapa tembakan terhadap Leftenan Jeneral Zaini sebelum berjaya ditumpaskan. Penangkapan Amin itu sekali gus menamatkan operasi pihak polis dan anggota tentera di Bukit Jenalik. Kesemua mereka dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Menerusi laporan MalaysiaGazette, pihak kerajaan tidak mengamalkan pendekatan memaafkan mana-mana banduan yang terlibat dengan aktiviti keganasan seperti Al-Maunah. Sebaliknya, pengampunan hanya diberikan kepada banduan kumpulan itu melalui ‘Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali’. Empat orang banduan kumpulan tersebut telah meninggal dunia ketika mendapat rawatan sewaktu berada dalam tahanan.

Sumber: Malaysiakini, MalaysiaGazette, OrangPerak.com & Hype Jet

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×